KUALA LUMPUR, 9 Disember - Penyanyi Kilafairy terpilih menjadi penyanyi wanita Malaysia bagi berkongsi pentas dengan legenda muzik Bollywood, Udit Narayan dalam Konsert Udit Narayan In KL yang akan berlangsung pada 28 Disember ini di Mega Star Arena, di sini.
Kilafairy atau nama sebenarnya Syakila Nisha Jangir Khan, meluahkan rasa bangga dan terharu atas peluang yang disifatkan sebagai salah satu pencapaian terbesar dalam kariernya.
Beliau turut mendedikasikan penyertaannya dalam konsert itu kepada arwah ibunya, penyanyi Allahyarham Rohana Jalil.
"Saya mahu arwah ibu, Allahyarham Rohana Jalil, menjadi saksi kepada pencapaian ini. Jika beliau masih hidup, pasti beliau bangga melihat saya berkongsi pentas dengan ikon seperti Udit Narayan," kata Kilafairy.
Kilafairy akan membawakan satu lagu solo dan dua lagu duet bersama penyanyi, Syamel.
"Lenggok nyanyian Hindustan sangat berbeza dengan Melayu. Saya juga perlu memahami perbezaan antara lagu Tamil dan Hindi untuk memberikan persembahan terbaik.
"Berkongsi pentas dengan figura seperti Udit Narayan adalah sesuatu yang tidak pernah saya bayangkan. Ia merupakan pengalaman sulung saya dalam konsert Bollywood berskala besar dan saya akan memberikan yang terbaik," tambahnya.