fb fb fb fb fb

KDA FC: tampil jersi baharu, harungi saingan musim 2022

ALOR SETAR, 1 Mac- Naib juara Liga Super 2021, Kedah Darul Aman (KDA FC) tampil dengan jersi baharu pasukan bagi mengharungi saingan musim 2022.

Pelancaran jersi baharu tersebut dilakukan secara maya dan disiarkan menerusi laman facebook rasmi KDA FC.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khamal Idris Ali dalam satu kenyataan berkata, pemilihan warna dan fabrik kali ini lebih istimewa dengan teknologi tersendiri dan terkini oleh penaja iaitu Lotto.

KDA FC mengeluarkan kit jersi HOME dengan serba kuning, AWAY dengan warna maroon dan hijau, manakala kit jersi penjaga gol berwarna oren, kelabu dan biru.

Ciri-ciri menarik jersi kali ini adalah rekaan eksklusif melalui kesan kain timbul 3D, kain lebih eksklusif dan ringan dengan hanya berat 135gsm, logo silikon berwarna penuh dan teknologi DEEP DRY Lotto.

Untuk jersi HOME pula, rekaan mural padi disemat erat di dada pemain, sementara AWAY rekaan berulang V melalui geometrik 'V' dan pilihan warna menarik bagi jersi penjaga gol KDA FC di musim 2022 melalui corak abstrak pada kain jersi.


(Jersi KDA FC HOME dengan serba kuning, AWAY dengan warna maroon dan hijau)

Buat masa ini, kit jersi pasukan KDA FC dibuka untuk tempahan awal melalui saluran E-dagang Lotto melalui Shopee Prestige Sports dan akan mendapat stok paling awal pada 10 Mac depan, manakala bagi tempahan awal melalui KDA Store, penyokong boleh mendapatkan stok awal bermula 25 Mac depan.

Logo penaja yang terpapar di jersi adalah DXN Industries (M) Sdn. Bhd. sebagai penaja utama di bahagian hadapan jersi, manakala penaja bersama Energy Eco Berhad dan Data Sukan Sdn. Bhd. di bahagian lengan jersi.

Sementara penaja lain seperti Berry Pay Sdn. Bhd., Cosmic, Halo Telco dan Al-ikhsan Sports di bahagian belakang jersi selain Lotto yang merupakan penaja bersama mengeluarkan kit pakaian pasukan KDA FC.

Musim ini, barisan penaja juga terdiri dari beberapa syarikat baharu terdiri daripada rakan penaja yang memberi dimensi baru suntikan kewangan kepada KDA FC.

KDA FC berharap sokongan penyokong pasukan Sang Kenari dalam semua aspek bukan hanya ketika hari perlawanan malah turut membantu menyumbang dalam pembelian barangan cenderahati dan kit pasukan seterusnya meningkatkan pendapatan pasukan musim ini.

Media Baharu