fb fb fb fb fb

KDA FC malukan KL City FC, 3-2

ALOR SETAR, 10 Mac- Naib juara Liga Super 2021, Kedah Darul Aman (KDA FC) melakar kemenangan kedua liga selepas menewaskan Juara TM Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur City (KL City FC) 3-2 dalam aksi di Stadium Darul Aman, malam semalam.

Beraksi di hadapan lebih 2,000 penyokong setia Hijau Kuning, KDA FC mendominasi permainan dengan acap kali mengasak kubu pelawat.

Namun benteng KL City FC ampuh bertahan menafikan deretan serangan oleh skuad Hijau Kuning.

KL City FC mengejutkan tuan rumah apabila Zhafri Yahya bijak menggunakan peluang terhidang untuk menjaringkan gol pertama pelawat pada minit ke-29.


(FOTO FB MFL)

Namun gol tersebut tidak kekal lama apabila KDA FC bangkit menyamakan kedudukan hasil tandukan padu Syafiq Ahmad selang tiga minit kemudian.

Kedudukan satu sama kekal hingga tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua, KDA FC membuat beberapa pertukaran dengan memasukkan Fayadh Zulkifli dan Fadzrul Danel.

Fayadh membuktikan kemasukannya berbaloi apabila menjaringkan gol kedua KDA FC pada minit ke-67.

Selang seminit kemudian pintu gol KL City FC yang dikawal Kevin Mendoza bolos lagi hasil jaringan Dennis Buschening untuk kedudukan 3-1.

Pelawat nyata tidak berputus asa dan berjaya merapatkan kedudukan menerusi jaringan Koubemba pada minit ke-88 apabila Sharil Shaari gagal menangkap kemas tandukan pemain import tinggi lampai itu.

Bagaimanapun kedudukan 3-2 kekal hingga tamat perlawanan menyaksikan Skuad Sang Kenari terbang tinggi di Darul Aman.

Media Baharu