fb fb fb fb fb

JDT 'ayamkan' Sarawak United FC, 6-0

ISKANDAR PUTERI, 10 Mac- Kelab Johor Darul Takzim (JDT) berpesta gol di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor malam semalam, selepas menewaskan Sarawak United FC, 6-0.

Bergson Da Silva serta Fernando Forestieri masing-masing menyumbat dua gol manakala Safawi Rasid dan Carli De Murga turut sama mencetak nama selaku penjaring.

Keadaan permukaan padang yang licin sedikit sebanyak mengganggu serangan JDT pada awal minit permainan, sebelum Fernando Forestieri menjaringkan gol pertama perlawanan pada minit ke-15.

Gol kedua Harimau Selatan dihasilkan pada minit ke-38, hasil rembatan volley Bergson Da Silva ke gawang gol lawan.

Selang babak kedua, pemain pertahanan Sarawak United FC, Raja Imran Shah, dilayangkan kad merah selepas mengasari Safawi Rashid, pada minit ke-60.

Selang dua minit kemudian, JDT menyumbat satu lagi gol, hasil rembatan Bergson Da Silva, sebelum Carli De Murga dengan mudah, menewaskan penjaga gol lawan pada minit ke-72.

Pesta gol JDT diteruskan dengan gol Safawi Rashid pada minit ke 79, dan gol kedua Fernando Forestieri pada minit ke-84.


(FOTO FB MFL)

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih JDT, Benjamin Mora berpuas hati dengan prestasi pemainnya yang menampilkan komitmen penuh sepanjang perlawanan.

"Kami mencari ruang di belakang pemain tengah dan kami mempunyai jarak yang baik dengan gawang gol, dua tiga dengan Corbin di bahagian kiri, dan dua tiga menyerang dan Fernando dan Bergson menjaringkan gol yang menarik pada awal permainan," katanya ketika ditemui media RTM.

Bagi Penolong Jurulatih Sarawak United FC, Ahmad Nurfaizal Patrick, akui pasukannya agak sedikit goyah berdepan bekas juara liga, JDT meski tetap berbangga dengan usaha keras anak buahnya.

"Pada saya, kelekaan daripada pasukan sendirilah. Kita boleh lihat juga dari segi pertahanan masih belum mantap. Lebih-lebih lagi bila berdepan pasukan kuat seperti JDT," kata Nurfaizal kepada pemberita RTM.

Media Baharu