PUTRAJAYA, 7 Julai - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri bagi membincangkan cadangan cukai hiburan.
Melalui pertemuan itu Timbalan Menteri, Datuk Zahidi Zainul Abidin akan mencadangkan supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mengenakan cukai hiburan yang terlampau tinggi kepada penggiat industri seni dan perfileman negara.
“Kalau boleh kami minta PBT untuk tidak mengenakan cukai (hiburan) yang tinggi sangat, sekarang mereka (penggiat seni) perlu bayar cukai 25 peratus kepada PBT.
“Kalau PBT kenakan cukai hiburan tinggi sangat, ia akan bantutkan perkembangan industri filem dan mutunya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan supertele ‘Penanggal Mak Kiah’ di sini hari ini.
(Zahidi ketika berucap pada majlis pelancaran supertele Penanggal Mak Kiah dan filem Flaka di Putrajaya/FOTO Aisya Yatim)
Zahidi berkata, duti hiburan 25 peratus bukan sahaja dikenakan bagi tayangan filem di pawagam, sebaliknya aktiviti seperti 'busking' turut dikenakan caj mahal.
"Ini suatu perkara yang tidak patut. Namun, bukan semua PBT begitu, hanya sesetengah saja.
"Jadi, saya akan berjumpa dengan kerajaan negeri untuk berbincang dengan PBT agar tidak mengenakan caj tinggi. Kalau boleh, 10 peratus cukuplah," katanya.