fb fb fb fb fb

Aktor filem Godfather meninggal dunia

(Dalam gambar fail ini yang diambil pada 22 Februari 2022, pelakon James Caan
tiba untuk acara tayangan perdana Ulang Tahun ke-50 "The Godfather"
di Teater Paramount di Hollywood, California/AFP)

LOS ANGELES, 8 Julai- Aktor James Caan yang cukup terkenal dengan watak Sonny Corleone dalam filem ikonik, The Godfather, dilaporkan meninggal dunia pada usia 82 tahun.

Pemergian Caan yang meraih pencalonan Anugerah Akademi (Oscar) bagi watak pewaris keluarga mafia dalam filem arahan Francis Ford Coppola pada 1972 itu, disahkan pengurusnya.

"Dengan kesedihan yang teramat, kami mengumumkan pemergian Caan (yang dikenali sebagai Jimmy) pada hari ini," kata salah seorang anggota keluarga mendiang melalui ciapan di Twitter.

Pemergian Caan disahkan pengurusnya kepada AFP, namun, punca kematian tidak didedahkan.

Mendiang Caan yang berkahwin empat kali, dilapor meninggalkan lima anak.

Selain The Godfather, Caan membintangi filem mega lain seperti Misery, Thief dan Rollerball.

Penerbit filem, Matt DelPiano menyifatkan Caan antara legenda seni terbaik.

"Bukan sahaja menjadi salah seorang aktor terbaik yang kita pernah lihat, mendiang juga lucu, setia, suka mengambil berat dan disayangi," katanya.


Caan memulakan karier lakonan sejak era 1960-an dengan membintangi banyak filem bersama pengarah hebat seperti Billy Wilder bagi filem Irma La Douce, Howard Hawks (El Dorado) and Coppola (The Rain People).

(Pelakon James Caan bergambar bersama isterinya pelakon Sheila Ryan (kanan)(Sheila Caan) dan
pelakon Perancis-AS Lilyan Chauvin (kiri) semasa pratonton filem Funny Lady diarahkan
oleh Herbert Ross di Paris, gambar fail yang diambil pada 18 Mac 1975,/AFP)


Mediang kemudian terjun dalam dunia televisyen (TV) pada 1970 dengan membintangi drama Brian's Song melakonkan watak Brian Piccolo.

Namun, watak Corleone dalam filem klasik, The Godfather menempatkan Caan dalam liga tersendiri dengan bakat lakonan hebat.

Filem The Godfather meraih tiga trofi Oscar termasuk Filem Terbaik dan Aktor Terbaik yang dimenangi Marlon Brando.

Dalam kenyataan kepada AFP, Coppola menyifatkan Caan sebagai teman paling rapat dalam dunia perfileman.

"Filem dan banyak watak hebat lakonannya tidak akan dilupakan. Mendiang sentiasa menjadi sahabat, teman kolaborasi dan insan paling lucu yang pernah saya kenali.

"Saya ucap terima kasih kepada Tuhan atas anugerah ini (persahabatan dengan Caan)," katanya kepada AFP. -AFP

Media Baharu