fb fb fb fb fb

Jurulatih beregu lelaki, Flandy tinggalkan BAM

KUALA LUMPUR, 28 Mac- Jurulatih beregu lelaki negara, Flandy Limpele memutuskan untuk tidak menyambung kontrak bersama Persatuan Badminton Malaysia, BAM.

Jurulatih kelahiran Indonesia itu menyatakan, keputusan tersebut sudah dibuat sejak awal Disember lalu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, BAM menyatakan walaupun badan induk berkenaan sudah menawarkan lanjutan kontrak baharu, jurulatih berusia 48 tahun itu tetap menolak tawaran dan ia berkuatkuasa 1 April ini.

Keputusan muktamad itu dibuat Flandy selepas mengadakan perbincangan bersama Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky dan baginya, ini adalah waktu tepat untuk mengundurkan diri.

"Saya fikir sudah, sudahlah..Saya pun sudah cakap dengan Choong Hann pada Disember lalu. Pada Januari pun cakap dengan Datuk Kenny , tapi baru sekarang 'announce' kan tapi sudah lama beritahu mereka.Saya pun berat hati untuk meninggalkan mereka (Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani), sudah melatih mereka ke tahap ini tapi keputusan sudah dibuat," katanya ketika diwawancara secara maya.


( Flandy Limpele ketika diwawancara pemberita secara maya)

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Athens 2004 itu juga tidak menafikan menerima tawaran dari Indonesia.

Sementara itu, Flandy yakin dengan potensi gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani untuk mencipta lebih banyak kejayaan selepas ini.

Komen beliau itu hadir selepas beregu lelaki negara itu muncul naib juara di Terbuka Switzerland semalam.

"Sudah bagus, sudah on track, semua saya sudah buat mereka punya 'foundation'..mereka punya kaki sudah 'strong' tinggal nanti 'coach' yang baru atau 'coach' Rexy boleh menambahkan 'result' mereka saja. Sekarang pun 'result' mungkin yang lebih besar, mungkin 700 and 1000 kan," kata Flandy.

Walaupun sudah memberikan yang terbaik, Tze Fei-Izzuddin terpaksa akur dengan prestasi mantap pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto yang menewaskan mereka 18-21, 19-21.

Gandingan muda negara ini meraih gelaran pertama mereka dalam Jelajah BWF dengan menjuarai Terbuka Jerman yang berlangsung pada 8 hingga 13 Mac lalu.

Media Baharu