KUALA LUMPUR, 28 Mac- Kekalahan 1-2 Malaysia ke atas Singapura dua hari lalu nyata sukar diterima peminat sukan tanah air yang dahagakan perubahan di bawah era baru ketua jurulatih, Kim Pan-Gon.
Lebih-lebih lagi kekalahan itu hadir selepas prestasi cemerlang ditampilkan skuad Harimau Malaya ketika menjinakkan Filipina 2-0 pada perlawanan pertama.
Namun, bagi pemerhati bolasepak tempatan, Mohd Sadek Mustafa, Pan-Gon dilihat berjaya memperbaiki keberkesanan skuad negara ketika mencipta serangan.
Sebanyak 22 percubaan ke gawang Filipina dan 16 percubaan ke gawang Singapura sudah cukup membuktikan skuad negara semakin berbahaya ketika mengasak kubu lawan.
Namun, tambah beliau, terdapat beberapa aspek perlu diperbaiki skuad negara sebelum menghadapi kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun.
"Pemain-pemain yang dipanggil mewakili negara perlu bersedia untuk meningkatkan lagi tahap kecergasan mereka. meningkatkan lagi kemahiran 'ball control' mereka, meningkatkan lagi dalam aspek-aspek kemahiran asas, saya lihat perlawanan bersama Singapura banyak hantaran-hantaran pendek mudah tidak dapat dilakukan dengan baik," katanya.
(Pemerhati bolasepak tempatan, Mohd Sadek Mustafa)
Mengulas lanjut mengenai kekalahan terhadap Singapura tempoh hari jelas Mohd Sadek, ia berpunca daripada kegagalan skuad negara untuk bertahan sebagai satu pasukan.
"Kita lihat dalam posisi-posisi tertentu, pemain-pemain tertentu, gagal mempertaruhkan, 'game plan' dan taktikal 'team' dan cuba menonjolkan permainan bersifat individu," katanya.
Daripada 10 perlawanan terakhir sejak 2008, Malaysia merekodkan hanya dua kemenangan, empat kekalahan dan empat seri ke atas Singapura.
Malam ini, Malaysia menutup kempen aksi persahabatan Tiga Negara di Singapura dengan menentang kelab tempatan, Albirex Niigata FC.