fb fb fb fb fb

Jin BTS mulakan latihan wajib tentera hari ini

(Jin, memuat naik foto rambutnya dipotong gaya tentera di platform media sosial Korea Selatan Weverse)

SEOUL, 13 Disember- Bintang BTS, Jin memulakan latihan khidmat ketenteraan wajib Korea Selatannya pada Selasa.

Jin, muncul sebagai ahli pertama kumpulan itu yang mendaftar sejak pengumuman 'berehat' daripada aktivit seni tahun ini sekali gus membuatkan peminat kecewa dengan masa depan gergasi K-pop yang tidak menentu itu.

Semua lelaki yang sihat tubuh badan di Korea Selatan diwajidkan berkhidmat sekurang-kurangnya 18 bulan dalam tentera.

Sebelum ini timbul perdebatan sama ada BTS layak mendapat pengecualian, namun mereka mengesahkan pada Oktober bahawa semua ahli akan mendaftar.

Jin atau nama penuhnya Kim Seok-jin akan memulakan latihan selama lima minggu bermula Selasa, kata tentera.

Agensi berita Yonhap melaporkan bintang itu dijangka dikerahkan ke unit 'baris hadapan' berhampiran sempadan dengan Korea Utara, yang mana Korea Selatan kekal berperang secara teknikal.

Pada Jun, peminat dikejutkan dengan pendedahan kumpulan itu akan berehat, dengan meletakkan alasan keletihan dan tekanan serta keinginan untuk meneruskan kerjaya solo.

Tetapi penganalisis berkata pengumuman itu ditetapkan secara strategik kerana tugas wajib ketenteraan.

Kumpulan itu akan bersatu semula sekitar 2025, apabila tujuh ahlinya menamatkan perkhidmatan mereka.

"Untuk sementara waktu, memang benar bahawa terdapat ramai peminat yang akan menghabiskan masa berhari-hari hanya dengan menangis," seorang peminat Korea Selatan, yang mengendalikan akaun Twitter @5heterotopia, memberitahu AFP.

Nimah Mustafa, seorang peminat berusia 20 tahun di Dubai, menambah: "(Ketiadaan Jin) akan menjadi seperti kekosongan yang besar bagi saya."

Korea Selatan mengecualikan beberapa atlet elit, seperti pemenang pingat Olimpik, dan pemuzik klasik daripada menjalankan khidmat wajib ketenteraan, tetapi tidak bagi bintang pop.

Bagaimanapun, BTS telah pun mendapat manfaat daripada semakan 2020 undang-undang kerahan tenaga yang menaikkan tarikh akhir pendaftaran untuk beberapa artis daripada umur 28 kepada 30 tahun.

Jin, ahli tertua BTS, menyambut hari jadi yang ke-30, 4 Disember lalu.

Jin mengucapkan selamat tinggal kepada beribu-ribu peminatnya di Buenos Aires pada bulan Oktober apabila dia mempersembahkan lagu baharunya "The Astronaut" bersama Coldplay.

Pada Isnin, dia menyiarkan foto dirinya dengan rambut dipotong gaya tentera di platform media sosial Korea Selatan Weverse, dengan kapsyen: "Ia lebih comel daripada yang saya jangkakan." -AFP


(Pegawai polis dan tentera berkawal berhampiran kem latihan tentera Korea Selatan berhampiran  zon demilitarisasi
yang memisahkan 
Korea Utara dan Korea Selatan ketika peminat dan ahli media menunggu ketibaan Jin
ahli tertua 
kumpulan K-pop BTS, di Yeoncheon, Korea Selatan pada 13 Disember 2022 / REUTERS)

Media Baharu