BAGAN DATUK, 19 Disember- Jenazah penyanyi legenda, Datuk M Daud Kilau dibawa ke Masjid Tuminah Hamidi, Bagan Datuk bagi memberi peluang kepada saudara mara dan rakan-rakan Allahyarham memberi penghormatan terakhir.
Menurut ahli keluarga Allahyarham, Hassan Ahmad, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Balai Baroh, Bagan Datuk selepas solat Zohor.
Sementara itu, cucu Allahyarham, Norhasliyana Hassan, 33 tahun berkata kali terakhir beliau berjumpa dengan datuknya pada Ahad lalu sebelum pulang ke Kuala Lumpur.
Norhasliyana menyifatkan penyanyi legenda itu sebagai seorang yang penyayang.
"Atuk sangat sayangkan cucu-cucu dia, dia tak kisah kalau cucu buat bising ke apa dia tak pernah marah kami. Dia selalu telefon saya, dia cakap cucu atuk buat apa, lepas itu dia nyanyi lagu Cek Mek Molek dekat saya. Jadi benda-benda macam tu akan saya rindu dan senyuman dia sebab sejak dia masuk hospital hari itu dia dah tak senyum, dia hanya bagi tindak balas yang sangat minimum," kata Norhasliyana.
Tambahnya, Allahyarham telah lama sakit dan keadaan tersebut semakin merosot sejak bulan Mac tahun ini.
Allahyarham meninggal dunia di Hospital Teluk Intan pada usia 85 tahun kira-kira pukul 4.46 petang semalam.
Penyanyi itu sebelum ini dimasukkan ke hospital pada 12 Disember lepas kerana penyakit diabetes, darah tinggi dan jantung.
M Daud mula menceburi industri hiburan tanah air selepas menjadi juara Bintang Radio di Singapura pada 1968.
Anak jati Bagan Datuk itu juga popular dengan lagu Gila Judi dan pernah merakam lagu duet bersama Ezlynn pada tahun 2003 dengan judul Pening.
Artikel Berkaitan:
Anwar, Ahmad Zahid ucap takziah kepada keluarga M Daud Kilau
Dukacita Datuk M Daud Kilau meninggal dunia