KUALA LUMPUR, 18 Disember- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada keluarga penyanyi legenda, Datuk M Daud Kilau yang meninggal dunia di Hospital Teluk Intan, Perak hari ini dalam satu hantaran di facebook.
"Mendoakan Allahyarham diampuni rohnya dan diberi tempat yang terbaik di sisi-Nya.
"Semoga Allah SWT kurniakan kesabaran tingkat tinggi kepada keluarganya. Terima kasih kerana pernah menghiburkan masyarakat di Malaysia dan menjadi antara permata tanah air," katanya dalam hantaran itu.
Perdana Menteri dalam rangka lawatan kerja lima hari ke Jepun bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun sejak 15 Disember lepas.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam hantaran di Facebook menyifatkan pemergian allahyarham itu mengejutkan dan tiada galang ganti.
Ahmad Zahid menyifatkan allahyarham mempunyai karya seni yang menjadi kebanggaan masyarakat di seluruh negara.
"Malaysia kehilangan seorang lagi permata seni tanah air, Allahyarham Datuk M Daud Kilau yang cukup berbakat dan berjiwa besar.
"Takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham dan semoga tabah menghadapi ujian ini. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin," katanya dalam satu hantaran di facebook.
Perkhabaran duka penyanyi lagu Cek Mek Molek, M Daud Kilau, 85, meninggal dunia di Hospital Teluk Intan, Perak kira-kira 4.40 petang tadi diberitahu anak lelakinya iaitu Ahmad Zaini Mohd Daud.