PALERMO, 25 Mac- Juara empat kali, Itali gagal layak ke Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut selepas dikejutkan Macedonia Utara pada separuh akhir play off zon Eropah.
Meskipun turun dengan status juara Euro 2020, Itali terpaksa akur apabila tewas 0-1 di Palermo dalam acara Bola Sepak Kelayakan Piala Dunia 2022 itu.
Gol tunggal hasil jaringan penyerang, Aleksandar Trajkovski pada minit kedua masa kecederaan sudah cukup untuk mengecewakan Itali.
The Azzurri sebelum ini tidak layak pada kejohanan edisi 2018 di Rusia di mana mereka tewas kepada Sweden dalam aksi 'play off'.
(Aksi Itali dalam acara Bola Sepak Kelayakan Piala Dunia 2022 di Palermo)
Mereka tidak pernah terlepas kejohanan bola sepak berprestij di dunia itu sejak edisi 1958.
itali mengharungi kempen kelayakan ini dengan rekod 37 perlawanan tanpa kalah, namun 4 keputusan seri dalam lima perlawanan terakhir menyaksikan mereka menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga kedua di belakang Switzerland, sekali gus terpaksa menempuh aksi play off.
Bagi Macedonia Utara pula, mereka akan bertemu Portugal bagi aksi final play off selepas juara Euro 2016 itu menewaskan Turki 3-1 dalam satu lagi pertemuan. -AFP