KUALA LUMPUR, 1 Februari- Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan melaksanakan kontrak standard melibatkan kru, pelakon dan penerbit yang mengandungi klausa terperinci berhubung isu kerja lebih masa pada tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata pelaksanaan standard kontrak itu untuk menyelesaikan isu kerja lebih masa dan perkara berbangkit lain yang berkaitan dengan kebajikan pekerja di belakang tabir.
"Kontrak standard ini memang telah dibincangkan di peringkat atasan lebih kurang setahun dua. Sekarang, ia sudah dalam peringkat perbincangan akhir. Insya-Allah, dalam tahun ini kita boleh laksanakan.
"Dalam kontrak standard itu, akan ada klausa seperti tangga gaji, tempoh waktu bekerja sehari dan insurans serta Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) supaya kebajikan pekerja ini terlindung," katanya kepada pemberita selepas program bual bicara bersama Ketua Pegawai Eksekutif Finas sempena Hari Kru Filem di sini hari ini.
Hari Kru Filem dianjurkan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) bagi meraikan sumbangan pekerja filem dalam sektor kerjaya pembikinan filem atau televisyen sejak dahulu sehingga kini.
Azmir Saifuddin turut berkata beberapa perkara utama itu akan termasuk dalam klausa kontrak tersebut dan boleh dipakai oleh semua produksi atau projek yang membabitkan insentif FINAS dan juga dalam industri.
Sementara itu, jelas beliau lagi pihaknya dengan kerjasama Perkeso akan mengadakan siri jelajah khususnya buat pekerja belakang tabir industri dalam masa terdekat, bagi memberi kesedaran mengenai kepentingan mencarum dalam Perkeso.
"Saya difahamkan oleh Perkeso lebih kurang 4,000 daripada 25,000 pekerja belakang tabir yang telah mencarum. Masih banyak lagi yang perlu diuar-uarkan kepada industri supaya mereka tahu betapa pentingnya caruman itu.
"... sedangkan Perkeso sendiri ada pelbagai insentif baharu antaranya caruman RM25 setahun untuk perlindungan. Kadang-kadang, perkara itu tidak diketahui oleh orang dalam industri ini," katanya.
Dalam perkembangan lain, Azmir Saifuddin berkata satu perbincangan dengan Kementerian Komunikasi akan dibuat berhubung pengisytiharan 1 Februari sebagai Hari Kru Filem.