MONTREAL, 31 Januari- Penyanyi pop antarabangsa, Celine Dion yang mengalami gangguan saraf berharap dapat meningkatkan kesedaran orang ramai tentang penyakit itu menerusi sebuah dokumentari terbaharu.
Dokumentari berjudul 'I Am: Celine Dion' itu akan disiarkan tidak lama lagi menerusi Amazon Prime Video.
Ia berkisahkan perjalanan hidup Dion, 55, melawan penyakit tidak dapat diubati dikenali sebagai 'Stiff Person Syndrom' (SPS) atau Sindrom Orang Kaku.
Amazon Prime Video masih tidak mendedahkan tarikh tayangan yang dilapor akan disiarkan di lebih 240 negara dan wilayah.
Penyanyi berasa dari Kanada itu mula mendedahkan keadaan kesihatannya pada Disember 2022.
Dia mengakui serangan SPS mengakibatkan ototnya tidak dapat dikawal sehingga mengganggu percakapan dan masalah berjalan serta memaksanya untuk membatalkan semua konsert jelajah Eropah yang sepatutnya bermula Februari lalu.
Kesihatan Dion dilihat semakin merosot sejak kematian suaminya, René Angélil pada 14 Januari 2016 ketika berusia 73 tahun. -AFP