KUALA LUMPUR, 30 Januari- Teka-teki berkenaan foto tular penyanyi wanita popular Siti Nordiana mengenakan gaun putih terjawab apabila ia merupakan sebuah sesi fotografi bagi konsert perdana Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun.
Konsert itu merupakan hadiah buat semua peminatnya yang sentiasa menyokong beliau dalam karier seni selain ia juga tanda penghargaan. Lebih dua dekad dalam industri seni tanah air, Sti Nordiana atau lebih dikenali sebagai Nana berkata, konsert itu disifatkan sebagai saksi 'jatuh bangun' dalam karier seninya.
"Saya dengan rendah hati memohon maaf jika ada pihak yang salah faham dan menyangka saya akan mendirikan rumah tangga selepas tersebarnya foto berbusana pengantin baru-baru ini.
"Sebenarnya fotografi itu diadakan khusus untuk acara istimewa, julung kali ini dan sangat bermakna ini. Ia untuk konsert perdana sepanjang lebih dua dekad saya berkecimpung dalam dunia seni khususnya muzik iaitu Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun.
"Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun terlalu istimewa buat saya kerana akan menjadi panggung dan ‘pelamin khas’ untuk saya meraikan karier bersama peminat yang tidak pernah berhenti menyokong perjalanan muzik saya selama ini," kata Nana.
Perkara itu sekali gus menjawab persoalan berkenaan foto tular di media sosial. Konsert itu dijadualkan pada 11 Mei depan di Zepp KL, di ibu negara.
Penyanyi kelahiran Negeri Sembilan itu dijangka akan menghiburkan penonton dengan lagu yang pernah mengangkat namanya dalam industri seni seperti Bukan Mengungkit Tapi Membangkit, Tak Upaya Menangis Lagi sehingga Satukan Rasa.
Ketika mengulas berkenaan foto tular itu, pihak penganjur Icon Entertainment beranggapan ianya merupakan pemasaran strategik selari dengan konsep konsert tersebut. Menurut penganjur Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun, Iman Tang semua yang dilakukan adalah berkaitan tentang menggamit nostalgia.
Sementara itu wakil pihak penganjur Mike Manicka berkata, Nana juga berjaya mencipta nostalgia hingga sukar dilupakan peminat ssekitar tahun 2000.
"Siti Nordiana sendiri telah membuktikan bakat nyanyiannya sejak kecil dan masih relevan terhadap industri sehingga kini. Ini juga yang membuat Icon Entertainment mahu menganjurkan Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun selepas melihat beliau belum pernah melakukan konsert sepanjang kariernya.
"Jadi Icon Entertainment membawa konsep memori atau nostalgia lagu-lagu Siti Nordiana yang penuh dengan kisah cinta dalam Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun," kata Mike Manicka.
Pada malam konsert itu, penonton boleh memakai baju bertemakan memori silam bagi membangkitkan suasana sekali gus 'larut' dalam momen tersebut.
Harga tiket bermula RM188 (Paling Comel), RM228 (Memori Berkasih), RM308 (Mainan Cinta), RM4888 (VIP Box, 8 pax per box). Ia boleh dibeli secara dalam talian di www.ticket2u.com.my atau hubungi talian hotline 012 6530 700 (whatsapp).