KUALA LUMPUR, 3 Januari- Kalendar dunia seni dan hiburan 2022 menyaksikan kebangkitan semula penggiat seni tanah air.
Antara yang menjadi tumpuan ramai adalah pemergian selebriti ke pangkuan ilahi, bantuan sebagai tanda keprihatinan dan tidak kurang juga artis tanah air yang mencuri perhatian dengan kisah kurang enak didengar.
Imbasan hiburan kita mulakan dengan Keprihatinan kerajaan atas keluhan anak seni mengenai isu pembayaran royalti.
Akta Hak Cipta berjaya dipinda bagi memberi royalti kepada penyanyi dan komposer.
(Foto hiasan)
Selain itu kerajaan terus menjaga kebajikan artis menerusi Skim Perumahan mampu milik dan Kempen Mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri membabitkan petugas belakang tabir.
Manakala bagi membantu insan seni yang hilang mata pencarian akibat bencana atau hilang upaya, sebanyak RM100,000.00 diperuntukkan untuk Tabung Khas Pembangunan Industri Filem.
Selain kerajaan, penggiat seni turut tidak terkecuali menghulurkan bantuan antaranya Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT) meneruskan tradisi dengan mengagihkan sumbangan kepada rakan artis.
Tidak ketinggalan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi Yayasan Nurjiwa dan keluarga CTDK Holdings Sdn Bhd membantu dan menghulurkan bantuan kemanusiaan serta bencana alam kepada yang memerlukan.
Imbasan Industri Seni Kreatif 2022: Kisah di mahkamah dan saman artis tanah air
Industri hiburan seni negara turut digemparkan dengan penahanan penyanyi nasyid dan komposer terkenal, Yasin Sulaiman dengan pertuduhan memiliki dadah berbahaya jenis kanabis seberat 193.7 gram.
Kini, pelantun lagu Mimpi Laila itu perlu menunggu sehingga 11 Januari untuk sebutan keputusan representasi kali kedua.
Kes saman difailkan sebuah syarikat produksi terhadap pelakon Ben Amir, yang didakwa melanggar perjanjian selepas enggan menjadual semula penggambaran drama yang tertangguh akibat COVID-19, diselesaikan secara baik di Mahkamah Sesyen pada 14 April lepas.
Pelakon popular, Zul Ariffin didenda RM30,000.00 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen pada 4 Oktober lalu atas pertuduhan memuat naik kandungan bersifat sumbang dalam media sosial Mac lalu.
30 November lalu, pelakon dan juga pengarah, Farid Kamil Zahari, terlepas hukuman penjara apabila Mahkamah Rayuan mengenakan hukuman denda RM5,000.00 kerana menggunakan dadah, empat tahun lalu.
Bagaimanapun mengekalkan dua tahun pengawasan bawah Agensi Antidadah Kebangsaan.
Penerbit dan pengarah, Datuk A Aida, mengenakan saman terhadap dua pelakon tanah air, Amelia Henderson dan Idris Khan kerana melanggar penjanjian kontrak penggambaran sebuah drama "Sekali Lagi Cinta Kembali" pada 24 Jun lalu.
Bagaimanapun, saman terhadap Idris berakhir dengan baik manakala Amelia memilih untuk melawan kes saman itu.
18 Jun lalu, Pelakon Shaarnaz Ahmad direman tiga hari selepas disyaki menumbuk dan menendang pengawal keselamatan.
Pelakon itu ditahan selepas mangsa tampil membuat laporan polis mendakwa dipukul dan lebam di mukanya.
Bagaimanapun, Shaarnaz dibebaskan dengan jaminan polis.
Imbasan Industri Seni Kreatif 2022: Pemergian insan seni sukar dicari ganti.
Dunia hiburan sepanjang 2022 turut dikejutkan dengan pemergian insan seni yang banyak berjasa kepada negara yang sukar dicari ganti.
Pelakon teater, pengarah dan penulis terkenal, Jit Murad atau nama sebenarnya Aziz Mirzan menghembuskan nafas terakhir pada 12 Februari lalu di kediamannya Bukit Damansara akibat serangan jantung.
Pada 26 Mac lalu, dunia hiburan turut berduka dengan pemergian pelakon dan pelawak veteran, Amran Tompel, di usia 72 tahun akibat kanser usus dan masalah buah pinggang.
(Antara artis yang telah kembali ke Rahmatullah pada tahun 2022)
Sekali lagi dikejutkan dengan pemergian Pelakon komedi veteran, Hamid Gurkha, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang akibat penyakit tibi dan beberapa komplikasi lain pada 14 Jun lalu.
Industri hiburan tanah air digemparkan dengan berita pemergian selebriti serba boleh, Adibah Noor yang telah bertemu Ilahi pada 18 Jun lalu.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gleneagles dipercayai akibat penyakit kanser ovari tahap empat.
Pada 14 September 2022, penyanyi era 80-an, Aman Shah atau nama sebenarnya Aman Shah Abu Kassim, 68 tahun telah menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung di Institut Jantung Negara.
Pelakon dan penulis lirik terkenal, Bob Lokman meninggal dunia di kediamannya di Kubang Kerian, Kelantan akibat komplikasi jantung pada 23 September lalu.
Allahyarham Bob, merupakan penulis lirik beberapa lagu popular antaranya Isabella, Taman Rashidah Utama dan banyak lagi.
Pelakon Veteran, Hisham Ahmad Tajudin, 76 tahun telah menghembuskan nafas terakhir selepas dirawat di Hospital Shah Alam (HSA) akibat jangkitan kuman dalam paru-paru pada 12 Oktober lalu.
Selepas sembilan bulan menderita penyakit angin ahmar, pengarah filem, Azhari Zain atau nama sebenarnya Azhari Mohd Zain telah menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Shah Alam, Selangor pada 24 November lalu.
Semoga yang telah pergi dicucuri rahmat oleh-Nya. Al-Fatihah.