fb fb fb fb fb

'Hawkeye' stabil, ucap terima kasih kepada peminat

(FOTO REUTERS)

LOS ANGELES, 4 Januari- Pelakon adiwira naskah Marvel, Jeremy Renner mengucapkan penghargaan kepada semua peminatnya atas doa dan kata-kata semangat yang dikirimkan kepadanya.

Renny, cedera parah selepas digilis oleh pembajak salji ketika cuba menaiki tempat duduk pemandu kenderaan seberat 14,000 paun (enam tan) itu.

Insiden berlaku berhampiran rumahnya di Nevada ketika dia cuba memberhentikan jentera PistenBully, yang mula bergerak ke hadapan selepas dia menggunakannya untuk membantu mengeluarkan kenderaan ahli keluarga yang terkandas dalam salji tebal.

"Dalam usaha untuk menghentikan jentera yang sedang bergerak itu, Renner cuba untuk kembali ke tempat duduk pemandu," kata Syerif Daerah Washoe Darin Balaam pada satu sidang akhbar.

"Berdasarkan siasatan kami, Renner dilanggar oleh PistenBully itu."

Pelakon watak Hawkeye itu menyiarkan sekeping swafoto pada Selasa dari katil hospitalnya, yang memaparkan lebam teruk di mukanya.

"Terima kasih semua atas kata-kata baik anda. Saya berada dalam keadaan yang sangat teruk. Tetapi saya menghantar kasih sayang kepada anda semua," tulis Renner di Instagram.

Publisiti Renner, Sam Mast berkata, pelakon itu telah menjalani pembedahan dan mencapai kemajuan positif dan terjaga, bercakap dengan baik.

"Dia kekal di ICU dalam keadaan kritikal tetapi stabil," kata Mast.

Seorang pegawai pada sidang akhbar berkata tiada petunjuk bahawa minuman keras atau dadah terlibat dalam kejadian itu, yang dianggap sebagai "kemalangan tragis."

Sheriff Balaam berkata siasatan sedang dijalankan berikutan kecederaan teruk yang dialami Renner, termasuk pemeriksaan untuk sebarang tanda kegagalan mekanikal.

Balaam berkata, petugas kecemasan mengalami kesukaran untuk tiba di lokasi kejadian kerana salji turun tiga kaki (satu meter) malam sebelumnya, memaksa beberapa pemandu meninggalkan kereta mereka di lebuh raya berdekatan.

Apabila tiba, mereka merawat Renner, dan "beberapa jiran baik Encik Renner keluar dengan beberapa tuala dan memberikan sedikit bantuan."

Syerif itu memuji Renner sebagai jiran yang hebat yang telah menggunakan mesinnya untuk membajak jalan persendirian untuk penduduk berhampiran.

Renner memegang gelaran kehormat timbalan syerif dan popular di kalangan kanak-kanak tempatan, yang memanggilnya "Hawkeye" sempena adiwira yang dilakonkannya dalam beberapa filem Marvel dan siri mini baru-baru ini, tambah Balaam.

Renner, 51, menerima dua pencalonan Oscar untuk peranannya dalam "The Hurt Locker" dan "The Town."


(FOTO IG @jeremyrenner)

Media Baharu