fb fb fb fb fb

Adegan bogel, pelakon utama Romeo & Juliet saman produksi

(Foto fail)

AMERIKA SYARIKAT, 4 Januari- Pelakon utama filem Romeo & Juliet memfailkan saman terhadap syarikat produksi, Paramount Pictures, selepas 55 tahun filem itu ditayangkan.

Olivia Hussey dan Leonard Whiting yang kini menjangkau usia 70-an memfailkan tuntutan mahkamah di Mahkamah Tinggi Santa Monica pada Jumaat dengan menuduh Paramount dan pengarah, Franco Zeffirelli mengeksploitasi mereka secara seksual dan mengedarkan imej bogel bawah umur.

Saman itu mendakwa bahawa Zeffirelli yang meninggal dunia pada 2019 telah memberi jaminan kepada mereka bahawa tidak akan ada babak bogel dalam filem itu.

Mereka juga dimaklumkan bahawa akan memakai pakaian dalam warna kulit ketika melakukan adegan ranjang.

Namun, pengarah didakwa merayu kepada mereka untuk tampil dalam keadaan bogel dengan sedikit solekan pada badan atau penggambaran itu akan gagal.

Hussey berusia 15 tahun pada waktu itu dan Whiting berusia 16 tahun.

"Defendan tidak jujur dan secara rahsia merakamkan kanak-kanak bawah umur bogel atau separa bogel tanpa pengetahuan mereka, yang mana ia melanggar undang-undang negeri dan persekutuan yang mengawal selia perbuatan tidak senonoh dan eksploitasi kanak-kanak bawah umur untuk keuntungan," kata saman itu.

Aduan yang menuntut ganti rugi ratusan juta dolar itu memaklumkan kedua-dua pelakon terbabit mengalami penderitaan mental dan tekanan emosi selama hampir enam dekat sejak filem itu diterbitkan.

"Paramount tahu imej kebogelan bawah umur harus dibuang.

"Imej kanak-kanak yang dieksploitasi secara seksual adalah buruk dan mereka (Paramount) tidak sepatutnya melepaskan adegan itu," jelas Solomon Gresen yang mewakili pelakon.

Filem Romeo & Juliet yang diterbitkan pada 1968 mencetuskan kontroversi dengan adegan ranjang yang memaparkan imej punggung Whiting dan payudara Hussey tanpa seurat benang. -AFP

(Leonard Whiting danĀ Olivia Hussey yang kini menjangkau usia 70-an memfailkan tuntutan mahkamah terhadap Paramount
yang didakwa mengeksploitasi mereka secara seksual dan mengedarkan imej bogel remaja/AFP)

Media Baharu