fb fb fb fb fb

'Hawkeye' Jeremy Renner semakin pulih, muat naik swafoto

(FOTO REUTERS)

LOS ANGELES, 4 Januari- Pelakon Jeremy Renner, yang membawa watak Hawkeye dalam filem-filem Avengers terbitan Marvel, dan dikejarkan ke hospital selepas mengalami kecederaan traumatik ketika membersihkan timbunan salji, kini beransur pulih.

Ini disahkan dirinya selepas memuat naik swafoto keadaan terkininya di laman Instagram untuk menzahirkan penghargaan atas ucap selamat oleh para peminatnya.

Renner memuat naik swafoto dari katil hospital di Nevada, Amerika Syarikat, sungguhpun dengan wajahnya yang lebam dan masih memerlukan bantuan pernafasan.

"Terima kasih atas ucapan dan doa anda.

"Saya tidak bermaya untuk menaip sekarang, tetapi saya mengutuskan kasih saya kepada anda semua." kata Renner dalam catatan Instagram beliau.

Pengurus publisiti Renner berkata pada Isnin bahawa beliau berada dalam keadaan kritikal tetapi stabil susulan kemalangan pada Tahun Baru 2023.

"Beliau mengalami "kecederaan di dada akibat benda tumpul selainkecederaan 'ortopedik' dalam kemalangan tersebut," katanya.

Renner memiliki sebuah rumah di Daerah Washoe, Nevada, sejak beberapa tahun lalu, lapor akhbar Reno Gazette Journal.

(Jeremy Renner memuat naik swafoto di laman Instagram dari hospital selepas mengalami
kemalangan FOTO INSTAGRAM Instagram Jeremy Renner)

Salji turun dengan begitu lebat di kawasan utara Nevada pada malam Tahun Baru. Perkhidmatan Cuaca Negara memberi amaran tentang kejadian ribut salji di kawasan berkenaan sepanjang hujung minggu.

Dalam taklimat media pada Selasa, Sheriff Daerah Washoe Darin Balaam berkata Renner digilis oleh jentolak salji yang bergerak sendiri setelah beliau menggunakannya untuk membersihkan salji yang menimbun di atas kereta yang dipandu oleh seorang anggota keluarga.

Menurut Balaam, Renner menggunakan jentolak PistenBully seberat lebih 14,000 paun (6,350 kilogram) untuk membersihkan salji yang kemudiannya bertukar menjadi tragedi apabila jentolak tersebut mula bergerak sendiri.

"Dalam usaha untuk menghentikan (jentolak) PistenBully berkenaan, Renner dikatakan mencuba untuk duduk di tempat pemandu dan pada ketika itulah Renner kecelakaan," kata Balaam, sambil menambah pihaknya tidak mengesyaki sebarang perbuatan khianat. -REUTERS

Media Baharu