fb fb fb fb fb

HMI 'Kesuma Jiwa': Irama lagu klasik bakal gamit memori esok

Barisan selebriti tanah air yang akan mendendangkan lagu-lagu klasik dalam program HMI Kesuma Jiwa siaran RTM pada Sabtu ini

KUALA LUMPUR, 10 November 2023 - Irama lagu-lagu klasik menggamit kenangan bakal berkumandang menghiburkan penonton pada esok (11 Nov) menerusi program Hiburan Minggu Ini (HMI) bertemakan 'Kesuma Jiwa'.

Program hiburan terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu akan memukau penonton bermula 9 malam dengan persembahan indah yang menyatukan artis terkenal dalam satu pentas yang sama di Auditorium Perdana, Angkasapuri Kota Media.

"Saksikan program hiburan santai terbitan Unit Hiburan TV RTM yang kali ini mengangkat pula tema ‘Kesuma Jiwa’, megnhimpunkan lagu-lagu malar segar sepanjang zaman.

"Namun sesuatu yang istimewa dan paling dinantikan iaitu segmen ‘Tribute To P.Ramlee’ yang mengimbau lagu-lagu nostalgia Allahyarham dan akan dinyanyikan kembali oleh artis terkenal tanah air," menurut kenyataan itu hari ini.

Antara artis popular yang bakal membuat persembahan pada Sabtu ini termasuklah Datuk Andre Goh, Datuk Yusni Hamid, Bob Yusof, Hael Husaini, dan Asmidar.

Turut membuat persembahan dua juara Bintang Klasik iaitu Hisyam Rahim, tahun 2023 dan Shazreen, juara tahun 2019.

Penonton boleh mengikuti Kesuma Jiwa yang bersiaran secara langsung menerusi saluran TV2 dan penstriman langsung melalui aplikasi RTMKLIK(rtmklik.rtm.gov.my).

Sebanyak 15 buah lagu bakal dipersembahan dalam program HMI kali ini yang akan mendendangkan lagu ‘Bulan Di Ditutup Awan’, ‘Memikat Hati’, ‘Sejakku Bertemu Padamu’, ‘Gurindam Jiwa’, ‘Menanti Di Ambang Syurga’, ‘Tak Seindah Wajah’, ‘Fatwa Pujangga’, ‘Malam Membawa Kenangan’, ‘Mengapa Dirindu’, ‘Nak Dara Rindu’, ‘Gelora Jiwa’, ‘Dari Hati Ke Hati’ dan ‘Kau Yang Ku Nanti’.

HMI Kesuma Jiwa bakal menggandingkan hos Raja Azura dan Joey Daud dalam sepanjang dua jam berlangsungnya persembahan.

"Orang ramai dijemput hadir untuk memeriahkan program HMI Kesuma Jiwa pada Sabtu ini dan masuk adalah percuma," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN