fb fb fb fb fb

Hari Tanjak Malaysia sasar 1,000 pengunjung pelbagai bangsa

Hari Tanjak Malaysia

KUALA LUMPUR, 28 Julai - Sempena sambutan Hari Tanjak Malaysia pada 10 Ogos ini, seramai 1,000 orang pelbagai bangsa bertanjak disasarkan menyertai program 'Precious Of Malaysia'.

Program yang juga bersempena Hari Kebangsaan itu bertujuan melihat budaya pemakaian tanjak terus dikekalkan khususnya generasi pelapis kini.

Menurut penganjur program, Farel Mikhail, acara sehari itu diangkat bagi menjaga, mengembangkan serta melestarikan tanjak sebagai warisan budaya Melayu yang perlu dibanggakan.

"Ini merupakan tahun kedua untuk Hari Tanjak Malaysia, yang mana tahun lepas di Muzium Negara tapi tahun ini kita nak mengangkat lebih komersial untuk menarik pelancong dan juga orang ramai.

"Hari Tanjak Malaysia juga diadakan di pusat beli-belah yang mana kami ada reruai jualan, pameran dan persembahan tradisional daripada penari dan juga penyanyi," katanya kepada RTM.

Farel yang juga pereka fesyen menambah, program anjuran FM Group itu adalah kesinambungan penganjuran kempen pemakaian tanjak daripada pelbagai pihak sebelum ini.

Acara sehari itu turut menganjurkan pertandingan rekaan fesyen sempena International Cultural Fashion Week (ICFW) yang akan berlangsung pada 2 hingga 4 Ogos di Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur.

ICFW merupakan platform untuk generasi muda berkarya terutamanya dalam menghasilkan busana tradisional atau kontemporari.

GRACE AISYAH KEDAYAN