fb fb fb fb fb

Konsert solo terakhir: Lima lagu 'minta nyawa' Awie buat peminat

Konsert berskala besar 'Journey' Awie bakal berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 3 Ogos depan.

KUALA LUMPUR, 28 Julai - Konsert solo terakhir vokalis band rock legenda, Wings, iaitu Datuk Awie, 56 yang berlangsung di ibu negara pada bulan depan kini siap 80 peratus.

Awie atau nama sebenar, Ahmad Azhar Othman, konsert itu juga merupakan hadiah istimewa buat peminat yang menyokong kerjaya seninya selama hampir 40 tahun lalu.

"Saya ada satu segmen yang saya panggil segmen cir-bir. Segmen tu memang gila, dia ada lima lagu yang semua 'minta nyawa'. Ini yang saya nak berikan kepada penyokong saya.

"Kemampuan pada ketika itu dengan lagu-lagu ini saya nak persembahkan -- hadiah yang paling gila saya nak bagi lima lagu ini," katanya ketika ditemui RTM baru-baru ini.

Tambah penyanyi rock legenda itu, konsert itu juga akan menampilkan persembahan yang berbeza dengan menggunakan video sebagai latar belakang perjalanan empat dekad kehidupan dalam industri musik.

"Kali ini saya gunakan cara lain belum pernah orang buat kita gunakan persembahan video, kita lakon layarkan, lakon kembali watak itu, ada babak yang mana kita kehilangan, ada babak di kubur, yang lainnya kita cuba buat secara lukisan kartun.

"Jadi persembahan kali ni memang berbeza daripada sebelum-sebelum ini apa yang pernah saya buat," tambahnya lagi yang kelihatan teruja dengan konsert akan datang.

Menerusi konsert berkenaan, sebanyak 30 buah lagu akan dipersembahkan bermula dengan perjalanan Awie bertapak dalam dunia seni pada 1985 bersama Wings.

Konsert berskala besar 'Journey' Awie itu bakal berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 3 Ogos depan.

GRACE AISYAH KEDAYAN