fb fb fb fb fb

Hamdan Senario meninggal dunia

Pada 31 Disember lalu, Hamdan ditidurkan selepas dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini akibat jangkitan kuman dalam darah.

JOHOR BAHRU, 5 Januari- Anggota kumpulan pelawak Senario, Hamdan Ramli, 55 dikhabarkan telah meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini pada pukul 12.50 tengah hari tadi.

Azlee Jaafar, 55, atau lebih mesra dengan panggilan Azlee mengesahkan perkara itu.

Azlee memaklumkan jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Ipoh, Perak petang ini untuk disemadikan selepas selesai semua urusan jenazah.

Pada 31 Disember lalu, Hamdan ditidurkan selepas dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini akibat jangkitan kuman dalam darah.

Keadaan kesihatannya semakin merosot sejak dua hari lalu apabila jantung hanya 20 peratus berfungsi dan bantuan pernafasan tidak mampu menyokong Allahyarham.

Kumpulan Senario berada di negeri ini untuk menjayakan Program Wonderful Night with Senario Union iaitu merupakan program berhibur sambil beramal bertujuan mengumpul sumbangan untuk membantu golongan artis veteran tanah air.

Acara itu adalah sempena ulang tahun ke-27 Senario, namun Hamdan tidak dapat menyertainya berikutan demam dan terjatuh lalu dikejarkan ke HSA.

Allahyarham Hamdan meninggalkan seorang balu, Norhamalini Ahmed, 53, dan empat cahaya mata.

Hamdan Senario dilahirkan di Batu Gajah, Perak dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Sri Kinta dan kemudian beliau melanjutkan pelajaran peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Putra.

Pada tahun 1995, Hamdan, Ilya dan Wahid memenangi program Sinaran Pasport Kegemilangan.

Hamdan pernah membintangi beberapa buah filem antaranya ialah Aku Kaya The Movie (2003), Tipah Tertipu The Movie, Senario Dalam Pemburu Emas Yamashita, Kemarau Cinta, Salah Bapak (2006), Zombi Kampung Pisang (2007), Senario The Movie: Episode 1 (2008) dan yang terbaru pada tahun 2022 Jaga-Jaga Senariounion dan Abang Long Fadil 3.

Allahyarham juga telah berlakon ratusan drama di televisyen sejak berada dalam industri hiburan tanah air.

ZEHRA BINTI ZAMBRI