fb fb fb fb fb

Gagal lunas tunggakan gaji, Perak FC dipotong tiga mata

KUALA LUMPUR, 1 April - Kegagalan Perak FC melunaskan tunggakan gaji barisan pemain musim lalu akhirnya membawa padah apabila dikenakan hukuman pemotongan tiga mata dalam saingan Liga Premier musim ini.

Keputusan itu diputuskan badan bebas iaitu Pelesenan Kelab atau First Instance Body (FIB) berkuat kuasa serta-merta.

Menurut Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif, skuad The Bos Gaurus gagal melunaskan baki tunggakan gaji pada tarikh pertama yang ditetapkan oleh FIB iaitu pada 31 Mac lalu.

Baki tunggakan gaji tahun lalu membabitkan pemain dan pegawai pasukan utama dan pasukan simpanan adalah berjumlah RM934,729.42.


(Gambar fail)

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Football League (MFL), Stuart Ramalingam, menegaskan jika Perak FC masih gagal menyelesaikan tunggakan tersebut, mereka boleh dikenakan hukuman pemotongan enam mata lagi.

"Selepas keputusan tiga mata ini, Perak ada masa 14 hari untuk membuat bayaran, jikalau tak bayar juga lagi enam mata akan ditolak dan jikalau bayaran masih tidak dilakukan dalam masa tujuh hari selepas itu, perkara ini akan dirujuk kepada FIB sekali lagi untuk memutuskan status lesen penyertaan liga musim 2022," kata beliau.

Tidak sampai sehari bergembira meraih kemenangan pertama musim ini, Perak FC dihadiahkan berita duka selepas pasukan itu sah dikenakan pemotongan tiga mata secara serta-merta oleh FIB.

Media Baharu