fb fb fb fb fb

Filem Johnny Depp buka Festival Filem Cannes

(Johnny Depp memegang watak Raja Louis XV dalam filem "Jeanne du Barry"/YouTube)

CANNES, 16 Mei- Festival Filem Cannes 2023 pada Selasa membuka tirai dengan Johnny Depp membuat kemunculan semula dalam filem pembukaan yang mempamerkan kemahiran bahasa Perancisnya sebagai Raja Louis XV.

Kerjaya pelakon berusia 59 tahun itu merosot di Hollywood, walaupun dia menang dalam perbicaraan kes fitnah terhadap bekas isteri, Amber Heard tahun lalu atas dakwaan keganasan rumah tangga.

Bagaimanapun, Depp kembali membuat kemunculan dan akan menghadiri karpet merah untuk malam pembukaan Cannes menerusi filem Perancis berjudul "Jeanne du Barry" yang mengisahkan percintaan raja abad ke-18 dengan seorang pelacur bergelar Madame du Barry.

Pengarah festival, Thierry Fremaux memberitahu wartawan bahawa dia tidak berminat dengan kes perbicaraan Depp, sambil menambah, penerimaan festival itu terhadap Depp adalah kerana lakonannya.

"Saya tidak tahu bagaimana imej Depp di Amerika Syarikat. Untuk memberitahu anda perkara sebenar, kami menonton filem. Saya hanya mempunyai satu peraturan dalam hidup iaitu kebebasan berfikir, kebebasan bersuara, kebebasan untuk bertindak mengikut undang-undang.

"Depp tidak diharamkan atau dilarang berlakon dalam filem, dan filem itu juga tidak diharamkan. Jika semua itu terjadi, ya, kami tidak akan bercakap mengenai perkara ini, namun ia sebaliknya," katanya dalam sidang media di sini. -AFP

(Johnny Depp sebagai Raja Louis XV (kanan) dan Maïwenn Le Besco sebagai
Madame du Barry dalam
 filem "Jeanne du Barry"/YouTube)

Media Baharu