KUALA LUMPUR, 11 April - Penjaga gol JDT, Mohd Farizal Marlias kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil berikutan kecederaan yang dialami pada pertemuan JDT menentang TFC pada saingan Liga Super semalam.
Menurut kenyataan di Facebook rasmi Johor Southern Tigers, Farizal bagaimanapun akan kekal dalam pemerhatian, selain perlu menjalani beberapa ujian perubatan di hospital.
Terdahulu, pemilik JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan berangkat melawat Mohd Farizal di hospital.
Pemain itu yang seakan tidak sedarkan diri selepas berlanggar dengan pemain pertahanan, Shane Lowry terpaksa diusung keluar dan penjaga gol simpanan, Muhammad Haziq Nadzli dibawa masuk bagi menggantikannya.
Pada perlawanan tersebut JDT terus mengukuhkan kedudukan di tangga teratas selepas menang tipis 2-1 ke atas TFC.
Kemenangan itu menyaksikan JDT mengumpul 12 mata selepas mengharungi empat perlawanan tanpa kalah, manakala TFC pula mengalami kekalahan kedua berturut-turut dan berada di tangga tercorot liga.