fb fb fb fb fb

Liga Super - Pendahulu saingan Johor Darul Ta’zim (JDT) kukuh kedudukan teratas

JOHOR BAHRU, 11 April - Pendahulu saingan Johor Darul Ta’zim (JDT) mengukuhkan kedudukan ditangga teratas selepas menang tipis 2-1 ke atas Terengganu (TFC) di Stadium Sultan Ibrahim Iskandar Puteri.

Kejayaan itu menyaksikan juara lapan kali tersebut menjadi satu-satunya pasukan yang mengekalkan rekod kemenangan bersih dalam empat perlawanan.

Penyerang Brazil Bergson da Silva muncul wira skuad Harimau Selatan apabila menanduk masuk kedua-dua gol pada minit ketujuh dan 33.

TFC pula sebelum itu berjaya menyamakan kedudukan 1 sama menerusi Kpah Sherman pada minit ke-31.

Insiden cemas turut berlaku ketika perlawanan apabila penjaga gol JDT, Farizal Marlias terpaksa diusung keluar dan dikejarkan ke hospital selepas tidak sedarkan diri.

Ia berikutan pelanggaran penjaga gol kebangsaan itu dengan rakan sepasukan, Shane Lowry ketika cuba menyelamatkan hantaran lintang pemain tengah TFC, Muhammad Syafik Ismail pada minit ke-61.

Perlawanan kemudian disambung semula dan keputusan kekal hingga tamat permainan.

Kemenangan itu menyaksikan JDT mengumpul 12 mata selepas mengharungi empat perlawanan tanpa kalah, manakala TFC pula mengalami kekalahan kedua berturut-turut dan berada di tangga tercorot liga.

Sementara itu Ketua Jurulatih JDT Benjamin Mora mengakui TFC merupakan lawan yang sukar dijinakkan.

(Benjamin dalam satu sidang media)

Menurutnya skuad Penyu memiliki pemain yang berkualiti terutama di bahagian tengah dan Harimau Selatan bernasib baik kerana berjaya memenangi pertemuan tersebut dengan keputusan tipis 2-1.

"Pasukan Terengganu merupakan kumpulan bagus, mereka mempunyai pemain yang bagus dan kuat. Mereka berupaya mencari kombinasi. Mujur kita mendapat tiga mata. Ini perlawanan yang agak sukar," kata Benjamin.

Bagi ketua jurulatih TFC, Nafuzi Zain pula, beliau memuji anak buahnya yang berjaya mempamerkan potensi sebenar mereka selepas dua perlawanan kompetitif.

"Saya puas hati dengan situasi pasukan Terengganu yang mulakan musim ini dengan berbeza daripada pasukan lain," Nafuzi.

Media Baharu