fb fb fb fb fb

Farah Ann mahu tubuh kem latihan sendiri

KUALA LUMPUR, 14 Mac- Bekas ratu gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi menyatakan hasrat mewujudkan kem latihan setelah bersara dari sukan gimnastik.

Menurutnya, inisiatif berkenaan bagi mencari bakat muda yang berminat menceburi sukan berkenaan.

Ia sebagai salah satu usahanya untuk membantu pembangunan sukan gimnastik tanahair.

"Saya ingin anjurkan Piala Farah Ann bagi mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan gimnastik dan saya harap dapat menjadi inspirasi kepada mereka yang punya impian dalam arena gimnastik ini," katanya dalam sidang media, berkenaan pengumuman persaraannya di ibu negara petang tadi.

Namun katanya, ia perlu dibincangkan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF).

Ia bagi mendapatkan penganjur dan khidmat nasihat berkenaan cara pengendalian kem latihan serta kejohanan yang mungkin diadakan tahun hadapan.

Sementara itu ketika ditanya mengenai perkara yang akan dirinduinya selepas mengumumkan persaraan daripada sukan gimnastik, beliau menyatakan akan rindu untuk bertanding.

Kata Farah , menerusi pertandingan dia dapat menunjukkan personaliti sebenar dirinya terutama ketika melakukan rutin senaman lantai.

"Ini adalah minat saya sejak kecil terutama apabila saya melakukan rutin senaman lantai. Saya dapat tunjukkan kepada seluruh dunia siapa gimnas dari Malaysia dengan melakukan yang terbaik setiap kali beraksi.

"Dalam sukan gimnastik ini, kami semua sudah seperti satu keluarga. Setiap hari pergi ke gimnasium untuk berlatih dan bertemu dengan rakan sepasukan dan jurulatih. Sudah pasti saya juga akan merindu suasana ketika latihan. Namun, saya juga teruja untuk meneruskan perancangan berhubung masa depan saya selepas ini," katanya.


(Atlet gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi (tengah) bersama bapa, Abdul Hadi Ahmad (kiri) dan ibunya, Kimberley Ann Gagnon (kanan) pada sidang media khas persaraannya di ibu negara, hari ini.)


Sabtu lalu, Farah, 28, menerusi media sosial miliknya mengumumkan persaraan selepas 25 tahun berkecimpung dalam arena gimnastik dengan pencapaian terbaiknya adalah layak beraksi secara merit di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Sebagai rekod, Farah antara atlet gimnastik artistik negara yang paling berjaya di Sukan SEA apabila sebelum ini berjaya meraih tujuh emas menerusi penampilan pada edisi 2015 di Singapura, 2017 di Kuala Lumpur dan 2019 di Manila.

Media Baharu