KUALA LUMPUR, 14 Mac - Pemain pertahanan Negeri Sembilan FC, Ahmad Khuzaimi Piee disenaraikan menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya yang bermula hari ini bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Syahmi Safari.
Ketua jurulatih kebangsaan Kim Pan Gon berkata, Ahmad Khuzaimi yang sebelum ini berada dalam senarai bersedia dipanggil melapor diri ke kem latihan selepas Syahmi memohon pengecualian susulan kelahiran bayi kembar tiganya.
(Ketua jurulatih kebangsaan Kim Pan Gon semasa sidang media)
Jelas Pan Gon dalam kenyataan dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini, perancangan asal adalah untuk memanggil pemain Sabah FC, Rizal Ghazali bagi posisi itu, namun pelawaan tersebut ditolak.
Sehubungan itu, atas sebab taktikal, pengurusan pasukan kebangsaan membuat keputusan memberi peluang kepada Ahmad Khuzaimi.
Skuad Harimau Malaya kini dalam rangka persiapan selama lapan hari bagi mengharungi tiga aksi persahabatan di Singapura hujung bulan ini.