KUALA LUMPUR, 18 Oktober- Ernie Zakri, 32 mencipta sejarah tersendiri menjadi artis Malaysia pertama yang dipaparkan dalam senarai main EQUAL Spotify dan sekali lagi menghiasi Billboard Times Square New York.
Penyanyi mempunyai vokal ampuh tidak pernah menyangka tuah 'Masing Masing' memberi kesan perjalanan karier seninya hingga melancarkan sekali lagi lagu berkenaan dalam versi piano.
Versi itu menampilkan kerjasama antara Ade Govinda dan Nabila V selaku penulis manakala komposer oleh Ade Govinda dan diterbitkan oleh William Chow.
Hanya diiringi piano, pendengar dapat merasai keindahan sebenar kekuatan vokal Ernie yang penuh penghayatan serta mainan emosi menerusi bait-bait lirik puitis.
"Saya mahu menonjolkan rasa asli dan kejujuran lagu ini, tanpa sebarang elemen muzik yang mengganggu. Lagu ini dipersembahkan dalam versi piano, ia memberikan peluang kepada pendengar untuk merasai keindahan tertulis dalam banyak dimensi.
"Saya percaya bahawa cara yang paling murni untuk menyampaikan karya seni adalah melalui pengurangan hiasan yang tidak perlu, membiarkan lirik dan melodi berbicara dengan sendirinya.
"Dalam setiap nota yang dimainkan, ada kenangan dan emosi yang terukir, menjadikan pengalaman mendengar lebih intim dan mendalam. Dengan pendekatan yang minimalis ini, saya berharap dapat membawa pendengar merasai inti pati sesebuah lagu suatu perjalanan perasaan yang tulus dan menyentuh hati," katanya.
Karya 'Masing Masing' sebelum ini turut dirakam dalam versi tradisional yang juga mendapat reaksi positif daripada penggemar muzik.
Tuah single pertama daripada album Aura yang dilancarkan pada November lalu berjaya mencetuskan fenomena luar biasa hingga ke Indonesia.
"Saya tidak pernah terfikir untuk menembusi pasaran Indonesia dan duduk di carta-carta di sana. Ia sesuatu yang luar daripada fikiran saya, tapi tentu saja ia adalah impian. Saya ada sasaran. Jadi, kerja-kerja saya, saya menuju ke arah impian dan 'goal' saya.
"Untuk mencapai semua ini dalam tahun ini, ia sangat mengejutkan juga. Apa pun, saya bersyukur sebab ada pendengar dan peminat yang sentiasa menyokong karya saya," katanya lagi.
Selain itu, lagu itu juga berada di kedudukan tangga ke-8 dalam senarai Top 50 Indonesia.
Untuk rekod Ernie Zakri menjadi artis wanita tertinggi Malaysia yang berjaya meraih 'Spotify Monthly Listeners' seramai 3.1 juta pendengar.
Tambahan itu, Ernie Zakri juga merupakan artis wanita yang berada pada kedudukan No.1 paling lama di Carta RIM selama 23 minggu.