fb fb fb fb fb

AM:PM persembah 12 lagu nyanyian Amir Masdi

Amir Masdi

KUALA LUMPUR, 19 Oktober- Amir Masdi atau pemilik nama sebenar Amir Syazwan Masdi, 28 tahun melancarkan album kedua berjudul AM:PM yang memuatkan 12 buah lagu.

Pelancaran album kedua itu susulan kejayaan album solo pertama berjudul 'Amir Masdi' tahun lalu habis terjual dengan tiga kali cetakan.

Menurut Amir album berkenaan merupakan sebuah naskah yang sangat istimewa kerana diberi peluang untuk menulis lagu daripada 'zero' sehingga ia diterbitkan.

Menurutnya, kesemua lagu dalam album itu mula ditulis bersama-sama komposer ternama, Edry Abdul Halim yang turut bertindak selaku penerbit pada November tahun lalu.

"Pada Februari tahun ini, saya dan pasukan menggunakan duit yang kami kumpul hasil daripada persembahan yang saya buat selama ini untuk bergerak ke fasa seterusnya.

"Kemudian, pada Mac kami terbang ke Manchester, United Kingdom untuk merealisasikan dan mengejar impian untuk terbitkan album kedua yang dirakam di Volta Lab Studios, Rochdale, Manchester.

"Sepanjang 18 hari berada di sana, kami tulis kesemua 12 lagu selain merakamkan vokal dan video muzik. Jadi, perjalanan untuk menghasilkan album ini sangat istimewa buat saya selain memberikan inspirasi buat saya untuk terus berkarya dan memberikan yang terbaik," katanya.

Berkenaan pemilihan nama Album, jejaka tampan yang berasal dari Selangor itu menyifatkan ia adalah gabungan namanya Amir Masdi (AM) dan Projek Manchester (PM).

"Pada awalnya, kami namakan album ini sebagai Projek Manchester. Kemudian, sepanjang perjalanan dan proses rakaman album itu, kami dapat idea AM:PM. AM ialah Amir Masdi manakala PM ialah Projek Manchester. Jadi, kami gabungkan menjadi AM:PM.

"Selain itu, AM:PM juga mencerminkan situasi sewaktu Edry berada di Manchester dan kami di Malaysia di mana ketika buat mesyuarat, masa di kedua negara berbeza. Kalau di sini siang, di sana pula malam.

"Seperkara lagi, album ini memuatkan sejumlah 12 lagu. Namun, saya lancarkan dulu bahagian AM pada bulan Oktober yang mengandungi enam lagu dan lagu-lagu pada bahagian PM pula bakal dilancarkan tahun depan. Saya merasakan ini satu lagi keunikan album ini," kata Amir.

Bahagian 'AM' akan memampilkan lagu 'Luar Kotak, 'Calar', 'Take Me Home', 'Langit Biru', 'Bakal Kekasih' dan 'Nur Cinta'.

Selain dalam bentuk fizikal, album ini boleh distrim di semua platform penstriman muzik utama seperti Spotify, Apple Music dan YouTube Music.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI