KUALA LUMPUR, 19 Oktober- Penyanyi dan penulis lirik Ikhwan Fatanna menghasilkan sebuah karya terbaharu berjudul 'Cahaya Mata'
Lagu berkenaan dicipta khas sempena kelahiran anak sulungnya yang diberi nama Yusuf Musa Mohamad Fatanah pada 17 September lalu.
Ikhwan menyifatkan lagu 'Cahaya Mata' merupakan adalah cerminan kasih sayang, pengharapan dan syukur yang dirasai sebagai seorang bapa.
"Saya ingin berkongsi perasaan yang tidak terucap ini melalui lagu Cahaya Mata, sebagai tanda penghargaan untuk momen yang cukup indah yang saya dan isteri lalui. Lagu ini bukan sahaja untuk ibu bapa tetapi juga untuk sesiapa sahaja yang merasai keajaiban kasih sayang dalam keluarga.
"Lagu ini boleh dikatakan sangat istimewa kerana ia dihasilkan bersempena dengan kelahiran anak sulung saya pada 17 September yang lalu. Lagu ini saya dapat idea sewaktu isteri mengandung. Kalau tak silap saya ketika usia kandungan lima bulan. Oleh kerana saya berasa terlalu gembira dan bersyukur sangat ketika itu, saya nak terjemahkan rasa itu di dalam sebuah lagu.
"Sebenarnya, lagu ini saya fikir nak simpan untuk kenangan bersama keluarga saja. Tapi, bila saya bagi isteri dengar, dia kata lagu ini okey dan menarik. Saya ambil keputusan untuk kongsikan lagu ini bersama orang ramai sebab saya pasti ramai orang juga mengalami perasaan yang sama ketika menerima kehadiran cahaya mata," katanya.
Dalam pada itu beliau juga berharap agar lagu 'Cahaya Mata' dapat menghiasi setiap keluarga kerana ada banyak elemen kebahagiaan dan syukur dalam lagu ini.
"Memang sangat luarbiasa perasaan ini apabila dikurniakan cahaya mata. Jadi, saya terjemahkan perasaan ini dalam lagu ini dan saya harap lagu ini dapat sambutan yang baik daripada semua. Saya berharap pendengar dapat menikmati lagu Cahaya Mata ini," katanya lagi.
Lagu 'Cahaya Mata' boleh didengari di semua platform penstriman muzik.