BANDARAYA MELAKA, 21 Julai- Suri rumah, Ema Fazuana Mehat dan kakitangan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Abdul Rauff Yusoh dinobat sebagai juara bagi kategori wanita dan lelaki pada kemuncak Bintang Melakafm 2024 yang berlangsung malam tadi.
Peserta dinilai oleh tiga juri berpengalaman diketuai oleh pemuzik dan pencipta lagu, Muhammad Yuri Mohamed Edris bersama bekas pemuzik orkestra RTM, Jaffar Rahman@Idris dan penyanyi serta komposer, Nizam Laksamana.
Kemenangan itu bagi Ema Fazuana dan Abdul Rauff merupakan langkah awal untuk mengembangkan lagi bakat mereka dalam bidang nyanyian.
"Saya berharap dapat teruskan cita-cita saya dalam bidang nyanyian dengan menyertai banyak lagi pertandingan. Semoga RTM terus menganjurkan pertandingan seperti ini... bagus untuk orang ramai terutama anak-anak muda meluahkan bakat mereka," kata Ema Fazuana
"Saya tak sangka boleh jadi juara sebab yang bertanding semua hebat-hebat. Memang nervous, tapi saya cari jalan untuk hilangkan (gementar)... saya buat macam berlakon sikit (atas pentas). Pertandingan ini sangat bagus untuk cungkil bakat terpendam, ramai yang boleh menyanyi, jadi ini peluang untuk orang ramai mencuba," kata Abdul Rauff.
Kedua-dua pemenang membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500, trofi dan hadiah iringan.
Seramai 10 peserta berentap pada kemuncak Bintang Melakafm 2024 selepas dipilih pada empat siri jelajah yang berlangsung di sekitar Melaka.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Melaka, Siti Nurbaini Khairi berkata, lebih ramai bakat baharu diketengahkan melalui penganjuran Bintang Melakafm.
Ia dibuktikan melalui sambutan menggalakkan daripada peserta bukan sahaja dari Melaka malah Johor, Kuala Lumpur dan negeri-negeri lain yang sekali gus merancakkan lagi Tahun Melawat Melaka 2024.
"Acara seperti ini saya harap dapat diteruskan setiap tahun supaya kita dapat melahirkan ramai pelapis berbakat dalam bidang nyanyian, sekali gus menjadi residen kepada Melakafm.
"Jika kita buat aktiviti lain pada masa akan datang, kita dah ada artis residen... ini merancakkan lagi industri hiburan di Melaka sebenarnya," katanya ketika ditemui pemberita selepas kemuncak Bintang Melakafm 2024 yang berlangsung di Panggung Bangsawan Melaka di sini malam tadi.
Kali terakhir Bintang Melakafm diadakan enam tahun lepas pada 2018.