MONTE CARLO, 13 April- Pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic tewas mengejut di tangan Alejandro Davidovich dipusingan kedua Masters Monte Carlo, awal pagi tadi.
Ini kali pertama bintang Serbia itu mengalami kekalahan dalam Jelajah ATP sejak Februari lalu.
Pada aksi itu, Djokovic tewas dalam pertarungan 3 set, 3-6, 7-6, 1-6 kepada lawannya dari Sepanyol tersebut.
Dia banyak melakukan kesilapan mudah ketika tewas set pertama, namun berjaya bangkit di set kedua sebelum sekali lagi tumpas di set penentuan.
(Djokovic berkata beliau bagai 'kehabisan gas' pada set kita perlawanan/ AFP)
"Saya tidak suka cara fizikal saya pada set ketiga. Saya benar-benar kehilangan 'gas'.
"Sukar untuk kekal aksi rali dengan dia. Jika anda tidak boleh bertahan dengan kedua-dua kaki di atas tanah liat, anda akan gagal," kata Djokovic yang penampilan pada 2022 hanyalah di Dubai Februari lalu yang menyaksikan dia bermain tiga perlawanan sahaja.
Sebelum ini, status Djokovic sebagai pemain yang tidak divaksin membataskannya untuk bersaing dalam jelajah ATP tahun ini.
Dia juga terlepas saingan Grand Slam Terbuka Australia pada Januari lalu gara-gara masalah visa yang mengakibatkannya diusir daripada negara berkenaan. -AFP