fb fb fb fb fb

Dayang Nurfaizah lancar single terbaru 'Lemah'

Dayang Nurfaizah

KUALA LUMPUR, 11 Oktober - Penyanyi yang terkenal dengan jolokan ratu R&B Malaysia Dayang Nurfaizah memperkenalkan single terbarunya berjudul 'Lemah' daripada album studio ke-11 beliau yang diberi judul "Janji'.

'Lemah' bakal dilancarkan pada 18 Oktober ini dan memberikan gambaran penuh emosi mengenai tema yang akan terkandung dalam keseluruhan album.

Lagu itu ditulis dan diterbitkan oleh penyanyi serta pencipta lagu Hael Husaini, manakala susunannya disempurnakan Mac Chew yang akan membawa pendengar menyelami kerentanan emosi yang mendalam, memaparkan keindahan dan keserlahan vokal Dayang.

Menurut Hael, "Bekerja dengan Dayang adalah satu penghormatan. Suara dan tafsirannya memberikan jiwa kepada lagu ini dengan cara yang sangat istimewa."

Dalam kenyataannya, Dayang turut meluahkan perasaan peribadinya terhadap lagu tersebut.

"Lagu ini amat bermakna bagi saya. Saya telah mencurahkan sepenuh hati ke dalam ‘Lemah’ dan saya berharap ia mampu menyentuh pendengar secara mendalam," katanya.

Video muzik lagu tersebut diarahkan oleh pengarah terkenal Lily Samsuddin. Lily dijangka membawa perspektif baru yang menarik untuk projek tersebut.

Album penuh 'Janji' yang mengandungi 13 lagu akan dilancarkan pada 22 November depan, memaparkan pelbagai tema termasuk cinta, harapan, dan kekuatan, dengan gabungan balada serta lagu berentak rancak.

TETITIA YUSOFF