fb fb fb fb fb

Damar Wulan dinobat juara Pertandingan Akhir Seni Warisan Cempuling

Ketua Kumpulan Damar Wulan, Muhamad Arib Satro

KUALA LUMPUR, 19 Mei- Mempertaruhkan lagu Medley Nasi Ambeng dan Hutang Floor 88 serta melodi Ceritera Seorang Perindu Hazama memberi tuah kepada kumpulan Damar Wulan apabila dinobatkan sebagai juara dalam Pertandingan Akhir Seni Warisan Cempuling di Auditorium Perdana, Angkasapuri Kota Media, malam tadi.

Ketua Kumpulan Damar Wulan, Muhamad Arib Satro, berasa bersyukur dan terharu dengan kemenangan pasukannya kerana persediaan hanya mengambil masa sebulan lebih bagi menyertai pertandingan berkenaan.

"Alhamdulillah saya rasa sangat terharu untuk pencapaian kali ini dapat juara dan sebenarnya kami tidak sangka dengan persediaan kami yang ada dugaan dan cabaran.

"Penganjuran pertandingan ini dapat memartabatkan seni warisan cempuling di peringkat tinggi,"katanya.

Selaku juara, Damar Wulan membawa pulang wang tunai RM13,000, sebuah trofi dan hadiah iringan.

Naib juara pula dimenangi Kumpulan Sungai Kajang Tanjung Karang dengan membawa wang tunai RM10,000 manakala tempat ketiga, Kumpulan Fiona Harmoni, RM7,000.

Kumpulan Seri Rantau pula memenangi persembahan terbaik sebanyak RM5,000.

Hadiah sumbangan, penaja utama, DCM Herbs Legacy dan rakan strategik, Syazia Collection Sdn Bhd.

Hadiah kemenangan disampaikan Timbalan Pengarah Bahagian Program Radio, Norfadzilah Hashim.

Turut hadir, Exco Kebudayaan, Borhan Aman Shah; dan Pengarah Penyiaran RTM Selangor, Noriza Salleh.

Pertandingan Akhir Seni Warisan Cempuling ini turut diserikan dengan persembahan artis jemputan, Asmidar, Haziq dan Daqmie.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE