FOTO AP
LOS ANGELES, 31 Mac- Aktor berpengalaman Hollywood, Bruce Willis terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada kerjaya lakonannya selepas didiagnosis aphasia, keadaan yang menyebabkannya kehilangan keupayaan untuk memahami atau menyatakan pertuturan.
Dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Instagram Willis, keluarga pelakon berusia 67 tahun itu berkata Willis baru-baru ini didiagnosis dengan afasia dan ia memberi kesan kepada kebolehan kognitifnya.
"Akibat daripada ini dan dengan banyak pertimbangan, Bruce meninggalkan kerjaya yang sangat bermakna baginya," menurut kenyataan yang ditandatangani oleh isteri Willis, Emma Heming Willis, bekas isterinya Demi Moore dan lima anaknya, Rumer, Scout, Tallulah, Mabel dan Evelyn.
"Kami menempuhi ujian ini sebagaiĀ sebuah keluarga yang kuat, dan mahu para peminat mengetahui perkara ini kerana kami tahu betapa dia sangat bermakna kepada anda, seperti yang anda lakukan kepadanya.
Aphasia biasanya berlaku selepas strok atau kecederaan kepala, tetapi juga boleh berkembang secara beransur-ansur disebabkan oleh tumor otak yang tumbuh perlahan atau penyakit yang menyebabkan kerosakan degeneratif.
Ia dirawat menerusi terapi pertuturan dan pembelajaran cara komunikasi bukan lisan.
Berita mengenai Willis, salah seorang pelakon yang paling disayangi Hollywood, tersebar dengan pantas di lama sosial.
Menerusi kerjaya empat dekadnya Willis telah mengumpul lebih daripada AS$5 bilion kutipan box office di seluruh dunia.
Terkenal dengan filem seperti "Die Hard," "Pulp Fiction" dan "The Sixth Sense," Willis dalam beberapa tahun kebelakangan ini juga telah menghasilkan filem thriller.
Terbaru, Willis membintangi "Gasoline Alley" dan "A Day to Die" bulan lalu, yang dikeluarkan pada awal Mac. Willis telah pun menjalani penggambaran sekurang-kurangnya enam lagi filem yang akan ditayangkan pada 2022 dan 2023, termasuk "Die Like Lovers," "Corrective Measures" dan "The Wrong Place."- AP
(Bruce Willis)-AP