fb fb fb fb fb

'Borak Dulu Baru Buka #barakahnyadisini' janji kelainan, angkat topik ‘Ibrah Dari Gaza’

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 8 Mac- Program temu bual santai dan sensasi RTM, Borak Dulu Baru Buka yang memasuki tahun keempat siaran Ramadan kali ini, menyediakan pelbagai pengisian menarik yang bakal disajikan kepada penonton.

Program diterbitkan oleh Unit Hiburan TV RTM itu menjanjikan kelainan menerusi topik khas ‘Ibrah Dari Gaza’, melihat perspektif bagaimana rakyat Malaysia dapat membantu berkempen perjuangan penduduk Palestin di Gaza selain perkongsian tentang ilmu kesihatan, kekeluargaan, motivasi dan pelbagai lagi.

Mendapat respon baik tanpa mengira agama, kaum dan budaya, Borak Dulu Baru Buka turut membawa pendekatan fiqh yang lebih meluas dan mempermudahkan penyampaian ilmu contohnya berkaitan hukum bersahur, berbuka puasa dan pelbagai lagi.

'Borak Dulu Baru Buka #barakahnyadisini' akan disiarkan sepanjang Ramadan, pukul 6.45 petang di TV1, mengekalkan gandingan pengacara Khir Rahman, Amin Idris dan Wany Hasrita.

Merangkumi semua aspek pengisian ilmu agama, drama, nyanyian, hiburan, lawak spontan dan lain-lain, 31 episod program itu sesuai ditonton ketika berkumpul seisi keluarga menjelang waktu berbuka puasa. Apalagi, perkongsian ilmu yang bermanfaat disampikan secara santai.

Menjadikannya lebih menarik, selain berhibur, penonton berpeluang untuk memenangi hadiah ditawarkan kepada penonton bertuah yang turut serta secara interaktif. Caranya dengan mengikuti laman Instagram unit Hiburan TB RTM di https://www.instagram.com/hiburantvrtm/.

RTM turut memberikan peluang kepada penonton yang tidak berkesempatan menyaksikan menerusi saluran TV untuk mengikuti penstriman langsung secara percuma menerusi RTMKlik (rtmklik.rtm.gov.my).

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE