fb fb fb fb fb

Belum masanya Malaysia kembali anjur F1

SUBANG JAYA, 31 Mac - Malaysia belum ada perancangan untuk membawa kembali perlumbaan Grand Prix Formula One di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dalam masa terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azhan Shafriman Hanif berkata pihaknya masih tidak menerima sebarang tawaran daripada pihak Formula One setakat ini selain perlu meneliti dan menilai pelbagai aspek terutamanya melibatkan kos penganjuran yang tinggi.

"Pada masa ini tiada apa-apa perancangan (bawa kembali), seperti saya maklumkan kita belum terima apa-apa tawaran daripada F1 untuk bawa kembali ke Malaysia, tetapi jika tawaran itu diberi, kita kena tengok dari segi bajet, ekonomi dan pertimbangan kerajaan untuk membawa kembali F1," kata beliau ketika ditemu bual Berita RTM, di sini.

Cadangan itu timbul selepas Rusia digantung Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), susulan pencerobohan negara itu ke atas Ukraine yang menyaksikan perlumbaan di Sochi pada September depan dibatalkan.


(FOTO FAIL/AFP)

Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) sebelum ini dimaklumkan usaha untuk membawa kejohanan itu melibatkan kos yang amat tinggi iaitu melebih RM200 juta.

Kali terakhir Malaysia menganjurkan sukan permotoran berprestij itu adalah pada tahun 2017 dan selepas itu kontrak penganjuran di Malaysia tidak disambung atas faktor kos dan pulangan hasil yang tidak setimpal.

Dalam perkembangan lain, Azhan turut memaklumkan kontrak beliau telah dilanjutkan untuk dua tahun lagi berkuatkuasa 8 April depan.

Media Baharu