fb fb fb fb fb

KBS bangunkan garis panduan kawal selia e-sukan

(Timbalan Menteri Belia Dan Sukan, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Negara)

KUALA LUMPUR, 31 Mac - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang membangunkan garis panduan pengawal seliaan Sukan Elektronik (e-sukan) yang dijangka dilancarkan tahun ini dalam usaha mewujudkan persekitaran selamat kepada penggiat sukan itu.

Timbalan Menteri Belia Dan Sukan, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker berkata garis panduan berkenaan sedang dirangka dengan kerjasama agensi dan kementerian berkaitan termasuk pemain dan pasukan profesional.

"Usaha mewujudkan garis panduan ini merupakan satu permulaan penggubalan khusus kepada sistem pentadbiran dan peraturan industri e-sukan yang lebih mampan menerusi garis panduan berkenaan."

"KBS bermatlamat melahirkan pemain sukan elektronik yang lebih bertanggungjawab dan lebih beretika serta mewujudkan pengukuhan undang-undang tadbir urus yang baik bagi semua peringkat urusan," kata beliau ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Arman Azha Abu Hanifah di Dewan Negara, di sini hari ini.

(Gambar fail)

Ia mengenai langkah kementerian untuk mengawal selia e-sukan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan belia di negara ini.

Sementara itu, Ti berkata Persatuan Sukan Elektronik Malaysia dengan kerjasama KBS sedang berusaha menaik taraf studio e-sukan di setiap negeri untuk dijadikan pusat penganjuran kejohanan sukan berkenaan yang bersifat studio dalam talian.

Media Baharu