fb fb fb fb fb

Bekas wartawan hiburan dan penulis lirik, Rudy Imran meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 31 Mac - Penulis lirik dan juga bekas wartawan hiburan, Rudy Imran Shamsuddin disahkan meninggal dunia pagi tadi di kediaman keluarganya di Semenyih, Selangor.

Allahyarham yang berusia 47 tahun meninggal dunia akibat penyakit kanser usus yang dihidapinya sejak beberapa tahun lalu.

Difahamkan Allahyarham Rudy baru saja dibenarkan keluar dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada Isnin lalu selepas menerima rawatan lanjutan kanser.

Antara karya yang memasyhurkan nama Allahyarham ialah lirik lagu Lelaki Teragung nyanyian Dayang Nurfaizah.

1
(Allahyarham Rudy Imran Shamsuddin bersama Dayang Nurfaizah ketika lagu Lelaki Teragung
dinobatkan sebagai juara AJL31 pada tahun 2017)

Rudy yang merupakan bekas wartawan hiburan itu memulakan karier penulisan di beberapa majalah dan akhbar Melayu termasuk VariaPop, akhbar Watan, majalah Hai (Utusan Karya) dan terakhir di akhbar Harian Metro.

Selepas menyambung pengajian peringkat peringkat ijazah di UiTM dan Universiti Sains Malaysia (sarjana), arwah sebenarnya dalam proses melengkapkan pengajian Doktor Falsafah (PhD), namun tidak kesampaian.

Selain kerja hakiki sebagai wartawan hiburan, Rudy yang berjinak-jinak dalam dunia penulisan lirik dan skrip drama mencapai kejayaan terbesar apabila lagu Lelaki Teragung dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu Ke-31 (AJL31) pada tahun 2017.

Media Baharu