(FOTO REUTERS)
Los Angeles, 7 Ogos- Filem komedi fantasi Warner Bros. Pictures, 'Barbie' kekal berada di puncak carta box office Amerika Utara buat tiga hujung minggu berturut-turut dengan kutipan global melepasi AS$1 bilion.
Kutipan itu direkodkan sebagai yang pertama membabitkan pengarah wanita solo, menurut pemerhati industri Exhibitor Relations.
Filem blockbuster arahan Greta Gerwig, dibintangi Margot Robbie sebagai anak patung ikonik Barbie dan Ryan Gosling sebagai Ken itu memperoleh unjuran AS$53 juta untuk tempoh Jumaat hingga Ahad, dengan jumlah domestik AS$459 juta dan AS$1.03 bilion di seluruh dunia.
Sementara itu, filem 'Meg 2: The Trench,' sebuah filem hasil kerjasama antara Amerika Syarikat dan China, menduduki tempat kedua dengan kutipan AS$30 juta pada hujung minggu pembukaannya di Amerika Utara.
Filem 'thriller’ mengenai jerung arahan Ben Wheatley itu dibintangi pelakon Britain Jason Statham dan pelakon China Wu Jing.
Ia berjaya mengutip AS$112 juta daripada 75 pasaran antarabangsa, termasuk kira-kira AS$54 juta dari tanah besar China.
Sementara itu, drama biografi Universal Pictures 'Oppenheimer', arahan Christopher Nolan berada di tempat ketiga dengan kutipan AS$28.7 juta pada hujung minggu ketiganya dengan jumlah kutipan di Amerika Utara sebanyak AS$228.6 juta setakat ini .-AFP
(FOTO REUTERS)