KUALA LUMPUR, 8 Mac - Selepas dua tahun tidak beraksi pada sebarang kejohanan akibat COVID-19, atlet ski air remaja, Aaliyah Yoong Hanifah kini bersedia untuk beraksi semula di Moomba Masters Melbourne yang akan berlangsung 9 hingga 14 Mac ini.
Aaliyah, yang baru-baru ini menerima Anugerah Biasiswa Bintang daripada Yayasan Sime Darby, sekali lagi telah dijemput untuk menyertai acara Moomba tahun ini.
Dia akan berentap dalam acara tricks, slalom dan lompat bagi kategori junior dan terbuka.
(Aaliyah Yoong Hanifah / FAIL)
Ini peluang terbaik buatnya memperbaiki keputusan yang dicatatkan pada tahun 2020, dia hanya meraih emas acara Tricks bagi kategori Junior.
Tahun ini merupakan kali terakhir Aaliyah dalam acara Junior, dan dia perlu menamatkan acara kegemarannya itu di kedudukan podium.
Sementara itu bagi kategori terbuka, pemain muda itu menyasarkan untuk menduduki tangga kelima teratas.