fb fb fb fb fb

Atilia, Salamiah bersatu di pentas 'Konsert Gelombang Bahagiaku'

Salamiah Hassan dan Atilia Haron

KUALA LUMPUR, 13 Mei- Penyanyi terkenal Atilia Haron bakal berkongsi pentas utama bersama ibunya yang juga legenda seni suara tanah air, Salamiah Hassan menerusi "Konsert Gelombang Bahagiaku".

Konsert berkenaan dijadualkan berlangsung pada 16 Ogos depan bertempat di Plenary Theatre, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Ia merupakan simfoni kasih antara dua wanita luar biasa dan impian Atilia

"Sebagai seorang anak yang mengidolakan ibunya sejak kecil, ini peluang untuk berganding di atas pentas bersama figura paling dikasihi dalam hidup saya dan menjadikan saya sebagai gadis paling bertuah di dunia.

"Konsert ini bukan sekadar sebuah projek seni. Ia adalah penghormatan dari jiwa terhadap insan yang paling saya cintai. ibu saya sendiri," kata Atilia.

Konsert Gelombang Bahagiaku bukan hanya menyatukan dua vokal daripada latar muzik yang berbeza, tetapi juga menggabungkan dua dunia, dua generasi, dan dua jiwa dalam satu nadi muzik yang harmoni dan abadi.

Sementara itu Salamiah Hassan yang kini meraikan ulang tahun ke-55 dalam dunia seni menerusi projek khas 'Salamiah Hassan: #Legacy – Celebrating 55 Years in Music' turut meluahkan rasa teruja.

"Walaupun cara nyanyian kami berbeza, saya percaya gabungan ini akan menghasilkan sesuatu yang cukup istimewa buat para penonton," katanya.

Antara lagu duet yang bakal dipersembahkan termasuk sebuah karya baharu berjudul 'Age Is Just A Number', yang membawa mesej positif tentang kehidupan, kematangan, dan keberanian menjadi diri sendiri tanpa mengira usia.

Turut menyerikan konsert berkenaan ialah Mimifly yang akan membuka tirai persembahan dengan semangat dan sokongan padu terhadap kerjaya muzik Atilia.

Harga tiket akan dijual pada harga RM150 hingga RM350 menerusi saluran rasmi Atilia Haron, Salamiah Hassan dan pihak penganjur.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI