fb fb fb fb fb

MoU antarabangsa lonjak industri filem Malaysia ke peringkat global

Foto IG Finas Malaysia

KUALA LUMPUR, 13 Mei - Kerjasama industri perfileman antara Malaysia, China dan Hong Kong terus diperkukuhkan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Skop Productions dan rakan strategiknya Enotech Pictures, dengan dua syarikat penerbitan terkemuka dari Hong Kong, iaitu Sil-Metropole Organisation dan Mandarin Motion Pictures.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dalam satu kenyataan memaklumkan, MoU tersebut bertujuan menghasilkan filem bertaraf antarabangsa melalui kerjasama dalam pengeluaran yang merangkumi koproduksi, pertukaran bakat, serta pengedaran dan pemasaran filem di pasaran Malaysia dan China.

Selain mengeratkan hubungan diplomatik dan kebudayaan antara negara terlibat, matlamat utama perjanjian itu adalah bagi memperkukuh penghasilan dan penerbitan filem bersama dengan sokongan padu daripada FINAS.

Dokumen MoU tersebut telah ditandatangani oleh Edmond Wong mewakili Mandarin Motion Pictures, Ding Kai dari Sil-Metropole Organisation, Shamin Yusof dari Skop Productions serta David Yap dari Enotech Pictures.

Majlis menandatangani perjanjian turut disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Dato’ Azmir Saifuddin, bersama Pengarah Seni Filem dan Televisyen dari Bauhinia Culture Group, China, Deng Wugui.

Turut hadir memberi sokongan ialah tokoh perfileman tanah air, Datuk Dr. Yusof Haslam selaku Pengerusi Skop Productions, yang turut memainkan peranan penting dalam menyambut delegasi perfileman dari China dan Hong Kong.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN