fb fb fb fb fb

KRU terima pengiktirafan MBOR: Kementerian Komunikasi rai pencapaian industri hiburan tempatan

FOTO Kementerian Komunikasi

KUALA LUMPUR, 12 Mei- Kementerian Komunikasi dalam satu kenyataan hari ini merakamkan ucapan tahniah kepada kumpulan legenda KRU atas pencapaian menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori "Persembahan Terbanyak Dalam Satu Siri Konsert".

Pada masa yang sama, ICON Entertainment, selaku penganjur konsert KRU Reunion, turut menerima pengiktirafan bagi "Penjualan Tiket Konsert Terpantas Dalam Tempoh Satu Jam" – satu pencapaian yang membuktikan impak besar industri hiburan kreatif tempatan terhadap masyarakat dan ekonomi negara.

"Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi terus komited memberikan sokongan berterusan terhadap pembangunan seni, budaya, dan industri hiburan kreatif negara demi memperkukuh ekosistem industri yang progresif serta berdaya saing," menurut kenyataan Kementerian Komunikasi.

Majlis penyerahan dua sijil pengiktirafan MBOR tersebut telah berlangsung dalam suasana meriah pada malam tadi di Axiata Arena, Bukit Jalil, dan telah disaksikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif), Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin, yang hadir mewakili Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Konsert GenKRU yang berakhir semalam telah berlangsung selama empat hari di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Dihadiri puluhan ribu peminat, konsert tersebut turut menyaksikan kemunculan istimewa artis popular tanah air seperti kumpulan Elite, Adam AF dan Feminin.

Trio adik-beradik legenda, KRU, terdiri daripada Datuk Norman, Datuk Yusry, dan Edry Abdul Halim, mula mencipta nama dalam industri muzik Malaysia pada tahun 1992. Mereka dikenali sebagai pelopor dalam memperkenalkan gabungan genre pop, R&B, dan hip hop ke dalam arus perdana muzik tempatan. 

Kejayaan mereka tidak terhad kepada nyanyian sahaja; ketiga-tiga mereka turut terlibat secara aktif dalam penulisan lagu, produksi dan pembangunan artis baharu melalui label mereka sendiri, KRU Music.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE