fb fb fb fb fb

MPO anjur Konsert Simfoni Budaya II Julai ini

Foto FB MPO

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) bakal mempersembahkan konsert Simfoni Budaya II pada 5 Julai depan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) di sini, menawarkan pengalaman muzik tradisional yang memukau kepada para peminat.

MPO dalam kenyataan memaklumkan, konsert berkenaan merupakan kesinambungan kejayaan Simfoni Budaya I tahun lalu yang menampilkan irama keroncong dan ghazal menerusi gubahan orkestra, bersama penyanyi seperti Datuk Yusni Hamid, Asmidar dan Haziq Rosebi.

Konsert kali ini akan dipimpin oleh Ahmad Muriz Che Rose, menampilkan gabungan tradisi dan muzik harmoni dalam sebuah keraian budaya yang gemilang.

“Penonton bakal menikmati keindahan irama joget, asli dan zapin yang digabungkan dengan keunggulan muzik MPO melalui karya malar segar seperti Dikirim Jangan Dipesan Jangan, Mas Merah, Fatwa Pujangga, Nirmala, Tudung Periuk, Simfoni Bunga Tanjung, Joget Burung Merpati, Makan Sireh, Joget Wan Lebor dan Mak Inang Kayangan,” menurut kenyataan itu.

Kesemua lagu berkenaan akan digubah semula dalam bentuk orkestra oleh Luqman Aziz, Ilham Subri, Azhad Sulaiman, Teuku Umar dan Shahakam Mokhtar.

Konsert tersebut akan menampilkan gabungan artis veteran dan generasi baharu termasuk legenda Datuk Andre Goh yang pernah memukau negara menerusi lagu Melayu asli dalam pertandingan Bakat TV 1972.

Tiket berharga antara RM179 hingga RM449 boleh didapati melalui tempahan di talian 03-23317007, e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. atau laman web www.mpo.com.my.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN