fb fb fb fb fb

Bront Palarae rangkul trofi pelakon pembantu lelaki terbaik di Thailand

Bront Palarae/ Foto Facebook Bront Palarae Official

KUALA LUMPUR, 12 Mei - Pelakon popular tanah air Bront Palarae mengharumkan nama negara apabila merangkul trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Anugerah Baan Nang Klang Lakorn ke-21 di Thailand, baru-baru ini.

Bront memenangi kategori itu menerusi wataknya sebagai Heem dalam filem seram The Cursed Land, menewaskan lima lagi calon dalam kategori tersebut.

Pelakon berusia 47 tahun itu dalam satu kenyataan di Instagram miliknya, berkata pengiktirafan tersebut merupakan sesuatu yang luar biasa buatnya.

“Berlakon dalam filem Thai tidak ubah seperti sebuah mimpi yang tidak terjangkau, dan kini dapat pula pengiktirafan, sememangnya sukar untuk dipercayai,” katanya.

Bront atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin, berkata pengalaman berlakon dalam filem itu juga merupakan sesuatu yang sukar dilupakan kerana berpeluang berkongsi skrin dengan pelakon berbakat seperti Ananda Mathew Everingham, Jennis, mendiang Sida Puapimon serta Han Zalini dan Firdaus Karim.

Bront turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pasukan produksi yang bekerja keras dalam menerbitkan filem berkenaan.

Dalam hantaran sama, beliau turut berharap pawagam Negara Gajah Putih tersebut akan berkongsi lebih banyak kisah masyarakat Melayu, khususnya dari wilayah selatan negara berkenaan.

Baan Nang Klang Lakorn merupakan acara berprestij industri kandungan Thailand yang memberi pengiktirafan kepada karya televisyen serta platform penstriman di negara berkenaan. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF