KUALA LUMPUR, 13 Mei - Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib menyifatkan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Skop Productions dari Malaysia dan Mandarin Motion Pictures dari Hong Kong sebagai pemangkin kepada hubungan industri filem antara Malaysia dan Hong Kong, malah merupakan inisiatif filem bersama pertama yang diumumkan susulan lawatan rasmi Presiden China ke Malaysia bulan lalu.
Beliau hari ini dalam satu kenyataan berkata, usaha tersebut juga merupakan platform memperkukuh hubungan diplomatik dan ekonomi melalui pendekatan diplomasi budaya.
Kerjasama strategik berkenaan turut mendapat sokongan pelaburan daripada syarikat berkaitan kerajaan China seperti Bauhinia Cultural Group dan Sil-Metropole Organisation.
Ini mencerminkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap potensi kreatif dan kualiti produksi negara sekaligus memberi manfaat besar kepada ekosistem industri filem Malaysia melalui peluasan pasaran, pemindahan teknologi dan kemahiran serta
menjadikan negara ini sebagai destinasi penggambaran bertaraf dunia.
Selain itu, projek ini turut disokong melalui insentif Film in Malaysia Incentive (FIMI) iaitu pulangan tunai sebanyak 30 peratus kepada produksi filem dan televisyen yang menjalankan penggambaran di Malaysia.
Kerjasama yang terjalin adalah selari dengan aspirasi Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang menekankan kepentingan kerjasama strategik, penglibatan pelaburan swasta, serta pembiayaan filem yang mampan dalam pembangunan industri kreatif nasional agar tidak hanya bergantung kepada dana kerajaan.
FINAS juga yakin melalui kerjasama pelbagai pihak Malaysia mampu terus melangkah ke pentas global dengan lebih berani dan berkualiti.