fb fb fb fb fb

Tarif filem: Binoche sindir Trump

Ketua juri Festival Filem Cannes, Juliette Binoche / Foto REUTERS

CANNES, 14 Mei-ketua juri Festival Filem Cannes, Juliette Binoche pada Selasa menyelar tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk mengenakan tarif 100% ke atas filem buatan luar negara serta dasar-dasar lain, sebagai usaha untuk menyelamatkan reputasinya.

“Kita boleh lihat bahawa dia sedang berjuang, dan dia sedang mencuba dalam banyak cara berbeza untuk menyelamatkan Amerika dan menyelamatkan dirinya sendiri,” kata pelakon Perancis itu kepada wartawan di bandar peranginan French Riviera itu.

“Kita mempunyai komuniti pembikinan filem yang sangat kukuh di Eropah, jadi saya tidak tahu apa yang patut dikatakan tentang (pengumuman tarifnya),” tambah Binoche.

Pemenang Oscar itu bersama lapan ahli juri lain termasuk pelakon Halle Berry dan Jeremy Strong bakal membuat keputusan terhadap filem yang akan membawa pulang hadiah utama festival iaitu Palme d'Or.

Sementara itu, Jeremy Strong yang dikenali kerana memegang watak Kendall Roy dalam siri HBO Succession, berkata di bawah pemerintahan Trump, peranan filem sebagai medium untuk menyampaikan kebenaran telah menjadi lebih penting.

Beliau berkata, pelantikannya sebagai salah seorang juri kali ini adalah sebagai imbangan kepada peranannya sebagai mentor muda Trump, Roy Cohn, dalam filem yang dipertandingkan dalam Cannes tahun lalu bertajuk The Apprentice.

“Roy Cohn pada saya pada dasarnya adalah pencetus berita palsu dan fakta alternatif. Dan kita sedang hidup dalam akibat daripada apa yang saya fikir dia cipta,” kata Strong.

Dalam perkembangan lain, Halle Berry, yang memegang watak Jinx dalam filem James Bond Die Another Day, menolak kemungkinan untuk kembali ke francais perisik itu selepas MGM Studio milik Amazon mencapai perjanjian tahun ini untuk mengambil alih kawalan kreatif melalui usaha sama baharu.

“Saya tidak tahu sama ada 007 patut benar-benar menjadi seorang wanita,” kata Berry.

“Pada tahun 2025, memang bagus untuk berkata, ‘Oh, dia patut jadi wanita,’ tetapi saya tidak pasti sama ada itu langkah yang betul", tambahnya.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD